Sunday, May 26, 2013

Semut api jadi ilham cipta robot

Semut api jadi ilham cipta robot
Kepakaran semut dalam menggunakan sesungut mereka untuk menyelamatkan diri ketika jatuh memberi idea kepada saintis untuk mencipta robot. London: Kajian ke atas pergerakan barisan semut melalui ruang yang tertutup, kini dijadikan asas untuk membantu mencipta robot yang boleh melakukan tugas mencari dan menyelamat, kata sekumpulan saintis Amerika Syarikat.

Sepasukan saintis dari Institut Teknologi Georgia mendapati semut api boleh menggunakan sesungut mereka sebagai ‘anggota tambahan’ untuk menyambut diri sendiri jika mereka terjatuh dan boleh membina terowong stabil dalam pasir yang longgar.
Kamera berkelajuan tinggi


Penyelidik menggunakan kamera berkelajuan tinggi untuk merakamkan secara terperinci tingkah laku semut terbabit.

Dr Nick Gravish yang mengetuai kajian mereka bentuk ‘ladang semut gred saintifik’ membolehkan semut mengorek melalui pasir yang terperangkap antara dua plat kaca, jadi setiap terowong dan setiap pergerakan boleh dilihat dan difilemkan.

“Semut ini didapati bergerak dengan kelajuan tinggi. Jika anda perlahankan pergerakan (anda akan lihat) ia bukanlah pergerakan kerana ia banyak terjatuh dan tergelincir.”

Serangga terbabit mampu bangkit dengan cepat setiap kali terjatuh.
Untuk melihat bagaimana mereka dapat melakukannya, pasukan berkenaan membina eksperimen kedua untuk menggerakkan mereka dari sarang ke sumber makanan, di mana semut terbabit perlu melintasi laluan berselirat terowong berkaca licin.

“Kita boleh lihat melalui terowong kaca semua bahagian badan yang bergerak apabila semut memanjat dan terjatuh atau tergelincir,” kata Dr. Gravish.

Spesies berjaya

Semut api mampu melalui sebarang jenis tanah, satu sebab utama kenapa mereka adalah spesies yang berjaya.

Penyelidik terkejut melihat semut terbabit tidak hanya menggunakan kaki mereka untuk menyambut diri mereka daripada terjatuh tetapi juga menggunakan sesungut, yang biasanya digunakan untuk mengesan bau, sebagai anggota tambahan untuk menyokong berat badan mereka.

Akhir sekali penyelidik melihat laluan tersembunyi yang dibina semut di bawah tanah, jadi mereka meletakkan semut di dalam bekas penuh pasir atau tanah dan membiarkan mereka mengorek.

Mereka kemudian membina ‘pengimbas CT X-Ray buatan’ sama seperti pengimbas perubatan, untuk merakamkan imej 3D terowong yang digali semut dalam tanah yang berbeza. - Agensi

No comments:

Post a Comment