• Brahim's Holdings Bhd
 1 / 1 
PEMBEKAL makanan dalam penerbangan, Brahim's Holdings Bhd, memain peranan kecil namun penting, dalam usaha menyelamatkan kedudukan kewangan Malaysia Airlines 11 tahun lepas.

Pada masa itu, Brahim's yang kini mengendalikan penerbangan dapur halal terbesar di dunia, mencuri perhatian apabila mendapat tawaran katering 25 tahun daripada syarikat penerbangan negara itu.

Ada yang mendakwa perjanjian bernilai RM6.25 bilion itu berat sebelah, namun mereka mungkin terlupa kos yang perlu ditanggung oleh Brahim's.

Brahim's terpaksa memperoleh pinjaman bank untuk menyediakan RM170 juta dalam bentuk tunai untuk membeli 70 peratus kepentingan ekuiti dalam MAS Catering Sdn Bhd.

Pada masa itu, MAS Catering mencatat kerugian terkumpul sebanyak RM240 juta, dana pemegang saham yang negatif dan membelanjakan RM40 juta setahun untuk kos operasi.

Brahim's juga terpaksa mewarisi semua 'lejar tidak seimbang'. "Konsesi 25 tahun diperlukan bagi memastikan pembeli mempunyai masa yang cukup untuk mendapatkan kembali pelaburannya, tidak seperti projek lain yang diselamatkan," kata Pengerusi Eksekutif Brahim's, Datuk Ibrahim Ahmad Badawi.

"Menerusi penjualan itu, jelas pembeli memerlukan sedikit jaminan kesinambungan perniagaannya.

"Ia tidak boleh dibandingkan dengan kontrak lain dalam MAS yang secara umumnya akan diperbaharui dalam tempoh dua hingga tiga tahun selepas tamat kontrak," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Hasil kerja keras selama 10 tahun, akhirnya menyaksikan kerugian terkumpul MAS Catering sebanyak RM240 juta ditangani dua tahun lepas.

"Kami mengurangkan pembaziran, pekerja dikurangkan sebanyak satu pertiga kepada kurang daripada 1,200, menambah 12 pelanggan baharu dan menambah pengeluaran hampir dua kali ganda," kata Ibrahim.

Yang lebih penting, kecekapan meningkat menerusi pelaburan tambahan sebanyak RM57 juta bagi membeli mesin dan peralatan serta sistem kawalan.

Hasilnya, syarikat mencatat keuntungan operasi pada tahun kedua dan menghapuskan sepenuhnya kerugian terkumpul, katanya. - Bernama