Monday, August 18, 2014

Menghadap: Khalid akur titah Sultan Selangor


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghormati dan akur nasihat Sultan Selangor supaya beliau menghadap selepas baginda kembali ke tanah air.

"Sehingga itu, saya dan barisan Exco akan menjalankan tugas seperti biasa bagi menjamin pentadbiran serta pengurusan negeri berjalan lancar dan baik," ujarnya dalam satu kenyataan ringkas.

Beliau turut menyeru semua pihak terutama pemimpin politik menghormati titah Tuanku Sultan dan menghindarkan diri dari membuat kenyataan yang boleh mengundang tanggapan negatif terhadap Sultan Selangor.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah menerima permohonan Abdul Khalid untuk menghadap baginda di luar negara bagi menjelaskan situasi dan perkembangan semasa politik di negeri itu serta kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Selangor.
  
"Permohonan beliau telah saya sembah maklum kepada Tuanku. Bagaimanapun, baginda telah menitahkan supaya Abdul Khalid menunggu sehingga baginda berangkat balik ke tanah air dalam tempoh beberapa hari lagi," katanya hari ini. - HARAKAHDAILY 18/8/2014

No comments:

Post a Comment