Monday, August 18, 2014

MH17: 18 keranda, 4 bekas abu dibawa pulang dari Belanda

THE HAGUE: Sebanyak 22 jenazah mangsa tragedi Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 akan dihantar pulang dari Belanda pada Khamis dan dijangka tiba di tanah air pada pagi Jumaat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata penghantaran pulang jenazah merangkumi 18 keranda dan empat bekas berisi abu mayat warganegara Malaysia dan seorang bukan warga Malaysia.
Beliau berkata, proses dokumentasi semua 22 jenazah itu dijangka diselesaikan pada Selasa ini termasuk memastikan semuanya menjalani proses pengurusan jenazah dan memperoleh kelulusan kerajaan Belanda sebelum boleh dibawa pulang.
"Sehingga Sabtu, (urusan membabitkan) 18 keranda sudah selesai dan hanya empat bekas abu (mayat mangsa) sahaja belum diuruskan yang perkara ini kita jangka disempurnakan pada Selasa ini.
"Jadi, kita merancang untuk membawa balik semuanya pada tengah hari Khamis ini (dari Belanda) dan dijangka tiba (di Malaysia) pada Jumaat ini," kata Wee kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia di sini, hari ini.
Wee berkata, kerajaan akan cuba membawa pulang jenazah rakyat Malaysia yang lain dalam masa terdekat dan ia bergantung kepada proses pengurusan jenazah dan kelulusan kerajaan Belanda.
Pada lewat Sabtu, Wee berkata pihak berkuasa Belanda mengenal pasti dua lagi mayat warga negara Malaysia menjadikan 26 jenazah rakyat Malaysia yang sudah disahkan identiti mereka.
Pada 14 Ogos lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata 24 jenazah rakyat Malaysia telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa Belanda iaitu 14 penumpang dan 10 anak kapal.
Beliau berkata sempena istiadat penghormatan ketibaan jenazah rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 10 pagi Jumaat, kerajaan mengisytiharkan hari berkenaan sebagai hari berkabung negara.
Penerbangan MH17 yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Russia pada 17 Julai lalu.
Pesawat dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dipercayai ditembak jatuh, namun belum ada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap perbuatan itu.
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment