• Mohd Khalil Abdul HadiMohd Khalil Abdul Hadi
 1 / 1 
CHANGKAT JERING - Pemuda Pas mempertahankan tindakan parti itu mengambil masa dalam menyatakan pendirian berhubung kemelut jawatan Menteri Besar Selangor antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kepimpinan PKR sebelum ini.

Timbalan ketuanya, Mohd Khalil Abdul Hadi berkata, Pas mengambil langkah sewajarnya dengan tidak membuat keputusan terburu-buru yang mungkin merugikan parti itu dan PR sekiranya hanya pertimbangan akal diambil kira.

Menurutnya, selaras keputusan dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat pagi semalam, Dewan Pemuda Pas berdiri teguh di belakang parti dan PR bagi penyelesaian terbaik dalam menangani krisis negeri Selangor.

“Pendirian diambil Pemuda Pas adalah jelas iaitu menyokong keputusan parti meneruskan kerjasama dalam PR.

“Keputusan Pas tangguh pendirian sebelum ini tepat berikutan ia melibatkan kepentingan banyak pihak dan perlu mengambil masa untuk parti membuat kajian dari segenap sudut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Perak kali ke-31 di Markas Pas di Air Kuning, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Noh Ahmad, Timbalan Ketua Pemuda Pas Perak, Mohd Akmal Kamarudin, Setiausaha Pemuda Pas Pusat, Mohd Nasaie Ishak dan Bendahari Pemuda Pas Perak, Mohd Fakhrul Razi Mokhtar.

Mohd Khalil turut menafikan kemelut jawatan Menteri Besar Selangor yang berlaku ketika ini menyebabkan Pas berpecah kepada puak-puak tertentu.

Menurutnya, kemelut itu sebaliknya dilihat oleh anggota Pemuda Pas dari sudut positif, iaitu kelemahan dan permasalahan yang timbul susulan krisis tersebut memberi ruang untuk memantapkan lagi dasar Pemuda Pas pada masa hadapan.