Wednesday, August 20, 2014

Mufti Brunei: Memperlekeh hudud merupakan candu untuk melemahkan Islam


Mufti Brunei
BANGI, 20 Ogos – Tindakan sebahagian orang Islam yang memperlekeh undang-undang jenayah syariah merupakan candu untuk melemah dan merosakkan kefahaman Islam yang sebenar.
Mufti Negara Brunei Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned menyebut demikian dalam satu sesi penerangan berkenaan “Syariah Penal Code Order (SPCO 2013) daripada perspektif dan pengalaman Brunei” di Universiti Islam Malaysia (UIM), Cyberjaya semalam.
“Tindakan ini disebabkan mereka itu jahil samada jahil biasa atau jahil murakkab atau jahil murakkab murakkab, inilah yang disebut sebagai krisis keimanan.
“Mereka jahil terhadap hukum Islam yang sebenar, jahil terhadap kefahaman Islam serta jahil akan maksud keadilan yang ada dalam Islam,” tegasnya lagi.
Beliau menambah lagi penyelesaian bagi kejahilan ini adalah dengan dikukuhkan kembali aqidah serta dimantapkan kembali keimanan umat Islam yang menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam khususnya golongan ulamak.
“Ulamak perlu diperbetulkan, ulamak perlu berperanan dengan mendidik masyarakat dengan ilmu dan pendidikan (tarbiyyah), inilah yang terjadi di Brunei,” kata beliau.
Pada Oktober 2013, Sultan Brunei telah mengistiharkan bahawa negara tersebut akan melaksanakan sistem undang-undang jenayah Syariah bermula 6 bulan daripada tarikh tersebut secara berfasa.
“Saya ingin bertanya adakah wajar untuk kita kata Allah SWT yang Maha Mengetahui lagi Maha Sempurna telah membuat untuk kita suatu undang-undang yang bersesuaian untuk sesetengah tempat sahaja atau membuat undang-undang yang cacat?” soal beliau kepada pihak yang menolak hudud.
“Sesungguhnya titik tolak kepada pelaksanaan undang-undang tersebut di Brunei adalah atas kehendak pemimpin negara (sultan) yang takutkan akan pertemuan hisab dan sebagai pelepas pertanggungjawaban di hadapan Allah SWT kelak,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment