• Mustafa Ali Mustafa Ali

SHAH ALAM - Pas Pusat belum memutuskan tindakan sewajarnya terhadap dua Adun yang membelakangi pendirian parti dengan menyatakan sokongan terhadap Adun Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya telah menerima laporan dihantar Pas Selangor, bagaimanapun belum memikirkan tindakan kerana menanti penyelesaian kemelut politik di Selangor berakhir.

“Ya, kita dah terima laporan tapi tunggu dululah krisis politik Selangor selesai, lepas itu kita fikir apa nak buat.

“Buat masa ini, kita tangguh dulu, biar selesai isu menteri besar selesai,” katanya.

Pas Selangor menyerahkan sepenuhnya tindakan terhadap dua orang Adunnya yang mengambil langkah menyokong Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor sebelum parti itu memuktamadkan keputusan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor Iskandar Abdul Samad berkata, laporan itu dibuat sejurus Pas Pusat mengarahkan laporan mengenai Adun Hulu Kelang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin dibuat.

Pada 14 Ogos lalu, Saari dan Hasnul menyatakan sokongan terhadap Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat bersidang.