Thursday, September 11, 2014

45 anggota pengaman Fiji akan dibebaskan pemberontak

RABU, 10 SEPTEMBER 2014 @ 9:09 AM

 
SUVA, Fiji: Ketua tentera Fiji berkata pemberontak Syria bersetuju untuk membebaskan 45 anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tanpa syarat pada penghujung minggu ini.

Brig Jen Mosese Tikoitoga berkata Fiji sudah menerima maklumat daripada ibu pejabat PBB di New York bahawa Barisan Nusra akan membebaskan anggota pengaman terbabit dalam beberapa hari tanpa sebarang syarat atau tuntutan.

Beliau tidak memberi tarikh tepat atau bagaimana penyerahan akan dilakukan.

Barisan Nusra berkaitan al-Qaeda itu sebelum ini menyenaraikan tiga tuntutan bagi pembebasan pengaman Fiji itu yang diculik sejak 28 Ogos lalu.



Kumpulan terbabit menuntut agar dikeluarkan daripada senarai pengganas PBB, meminta agar bantuan kemanusiaan dihantar ke bahagian tertentu di ibu negara Syria di Damsyik, dan menuntut pampasan bagi tiga anggotanya yang terbunuh dalam kejadian tembakan dengan anggota PBB.

Tikoitoga berkata Komander pasukan Leftenan-Kolonel Jone Kalouniwai sudahpun berlepas ke Syria hari ini bagi tujuan itu.

Tentera pengaman Fiji ditempatkan di Bukit Golan antara Syria dan Israel. Pertempuran berlaku di kawasan berkenaan sejak pemberontak Syria menawan kawasan sempadan berhampiran Quneitra, iaitu bandar lama yang ditinggalkan, bulan lalu.

Anggota al-Qaeda cawangan Syria itu menculik tentera pengaman Fiji itu dan mengepung dua kontinjen Filipina yang berkhidmat sebagai pengaman pada hari berikutnya. - AP

Anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Fiji ketika berada di dalam bas di Bukit Golan sebelum masuk ke Syria pada 31 Ogos lalu. - Foto REUTERS

No comments:

Post a Comment