Monday, September 22, 2014

Azizah terima dengan hati terbuka Azmin dilantik MB


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerima dengan hati yang terbuka keputusan yang telah dibuat oleh Sultan Selangor yang memperkenankan timbalannya, Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

"Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada 29 ahli Dewan Negeri Selangor daripada PKR, DAP dan PAS yang telah memberikan sokongan kepada saya sejak 14 Ogos 2014 dan membolehkan Pakatan Rakyat kekal sebagai kerajaan di Selangor," ujarnya dalam satu kenyataan.

Bellau juga menghargai kesepakatan 29 ahli Dewan Negeri Selangor yang meletakkan kepentingan menjaga mandat rakyat mengatasi kepentingan peribadi mereka.

Atas semangat itu, ujarnya beliau telah membuat keputusan untuk menarik diri dari pencalonan sebagai Menteri Besar Selangor.

Justeru, beliau telah mencadangkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) agar Azmin Ali selaku Ahli Dewan Negeri Kawasan Bukit Antarabangsa diangkat sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Menurutnya, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang bermesyuarat pada hari ini telah juga sebulat suara bersetuju dengan cadangan itu.

"Saya mengambil keputusan ini demi kepentingan rakyat atas kesedaran bahawa krisis ini perlu diselesaikan secepat mungkin," ujarnya yang juga Adun Kajang.

Beliau yakin bahawa PKR telah kekal mempertahankan prinsip demokrasi raja berpelembagaan.

Walaupun proses perlantikan itu pada hematnya tidak menepati peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, beliau percaya tumpuan perlu dikembalikan kepada usaha membela rakyat di Selangor.

"Oleh itu, saya telah menyatakan pandangan saya kepada pimpinan parti mengenai beberapa program khusus yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk mengangkat martabat dan kebajikan rakyat Selangor," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 22/9/2014

No comments:

Post a Comment