PRK Pengkalan Kubor TUMPAT - Polis Kelantan menerima dua laporan mengenai ceramah dan pengedaran cakera padat (CD) yang berbaur hasutan sepanjang tempoh lapan hari berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubor.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata kedua-dua kes itu sedang disiasat dan pihaknya telah memanggil individu terbabit untuk memberi keterangan.

"Kes pertama, kita terima aduan pada 17 September yang melibatkan pengaduan ke atas seorang Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang dikatakan telah  mengeluarkan kata-kata berbaur hasutan semasa mengadakan ceramah pada 13 September lalu.

"Pada 18 September pula, mengenai aduan daripada seorang lelaki yang menerima satu bungkusan CD ceramah sebuah parti politik yang diletakkan pada bahagian hadapan kenderaan pengadu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini, hari ini.

Katanya kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4(1)(B) dan (C) Akta Hasutan 1948.

Mazlan berkata, secara keseluruhannya kempen PRK Dun itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Pasukan Khas Cantas juga sentiasa dalam keadaan siap sedia bagi menangani sebarang kemungkinan sekiranya ada individu atau kumpulan yang cuba  menimbulkan kekecohan," katanya.

Beliau berkata jumlah anggota polis akan ditambah pada hari mengundi Khamis ini bagi mengawasi semua 45 saluran mengundi.

"Tahap keselamatan turut dipertingkatkan untuk melancarkan proses pembuangan undi," katanya.

Kawasan Dun Pengkalan Kubor mempunyai 24,039 pemilih berdaftar iaitu terdiri daripada 23,929 orang pengundi biasa, 109 orang pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir (luar negara). - Bernama