SEOUL - KOREA SELATAN. Korea Utara mengancam menyerang Korea Selatan jika kempen anti-Pyongyang di wilayah sempadan tidak dihentikan. Pyongyang mengeluarkan amaran itu ketika Korea Selatan sedang menganjurkan Sukan Asia dengan menerima kunjungan 9,535 atlet  daripada 45 negara termasuk Malaysia lapor AFP. Minggu lalu, sekumpulan aktivis Korea Selatan merancang melepaskan 200,000 risalah yang disangkut pada belon gas ke Korea Utara dari sempadan negara itu. Laman web rasmi Korea Utara Uriminzokkiri melaporkan, jurucakap tentera Korea Utara memberi amaran pihaknya tidak teragak-agak melancarkan serangan serta-merta jika kempen itu dilakukan. "Kami tidak akan berdiam diri. Ini adalah satu tindakan provokatif ganas secara terbuka. Korea Selatan sengaja melakukan kempen ini ketika mereka sedang menganjurkan Sukan Asia,” katanya menerusi laman web itu. Sementara itu, ketua aktivis Korea Selatan Park Sang-Hak berkata, mereka tidak gentar dengan amaran itu dan kempen itu tetap akan diteruskan. “Biar Korea Utara marah dan menjerit. Kami tetap melakukannya seperti dirancang," katanya.