Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
TUMPAT - Naib Presidan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ungkapan 'broker' yang disebut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapannya di muktamar baru-baru ini, tidak semestinya merujuk kepada jual beli yang melibatkan wang ringgit.

Menurutnya, maksud Abdul Hadi mungkin lebih menjurus kepada maruah yang boleh dibeli oleh orang lain sehingga sanggup mengadai prinsip perjuangan dalam hidup.

"Sebenarnya ucapan itu disebut beli... tetapi bukan beli dengan duit.

"Sebenarnya pembelian tidak semestinya dengan duit, dalam al-Quran ada menyebut maksudnya (ALLAH membeli)... membeli itu adalah membeli maruah diri, harga diri, jadi itu yang Hadi maksudkan bukan maksudnya makan rasuah, tidak," katanya kepada pemberita di Pusat Media Pas di Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Adun Hulu Kelang, Saari Sungib (Pas) yang mencabar Abdul Hadi supaya kemukakan bukti beliau 'dibeli' oleh PKR untuk menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Sehubungan dengan itu, Tuan Ibrahim menggesa agar Saari mengadakan pertemuan segera dengan Presiden Pas supaya polemik tersebut segera berakhir.

"Saya fikir sebagai ahli parti iaitu wakil rakyat yang mewakili parti dia perlu bertemu presiden, jaga hubungan.

"Adakan pertemuan, berbincang, jangan guna media, kita harap polemik ini segera berakhir," ujar Tuan Ibrahim yang juga Pengarah Induk Pilihan Raya Pas bagi PRK Pengkalan Kubor.

Terdahulu dalam ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas ke-60, Abdul Hadi mengkritik tindakan PKR dan DAP kerana 'mencuri' dua Adun Pas itu demi menjayakan misi "Langkah Kajang" seterusnya merebut jawatan Menteri Besar Selangor.

Beliau mendakwa ada pihak yang menjadi "broker" dan "barua" dengan mencuri Adun parti itu di Selangor dan tindakan tersebut seolah-olah menghianati tahaluf siyasi atau kerjasama Politik yang dijalin dalam PR.