Tuesday, September 9, 2014

Banjir: Keadaan pelajar Malaysia di Jammu, Kashmir


BERNAMA | .
PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri ingin merujuk kepada banjir yang melanda Jammu dan Kashmir, India. Disebabkan hujan berterusan, Jammu dan Kashmir telah dilanda banjir teruk.
29 orang pelajar Malaysia yang sedang bercuti di Jammu dan Kashmir dilaporkan telah terperangkap di negeri itu, khususnya di Srinagar dan Pahalgam. 

Mereka terdiri daripada pelajar-pelajar perubatan dari Universiti Perubatan Manipal di Karnataka yang dibiayai oleh JPA, MARA dan juga pelajar persendirian.

Pelajar-pelajar berkenaan terbahagi kepada dua kumpulan. 10 orang pelajar perempuan dilaporkan terperangkap di Pahalgam, dan masih lagi tidak dapat dihubungi oleh Konsulat Malaysia.  Manakala, 19 pelajar lain pula terperangkap di sebuah hotel di Srinagar ibu negeri Jammu dan Kashmir.

Hujan lebat dan banjir telah menenggelamkan 450 kampung dan memberi kesan buruk kepada 2,000 kampung yang lain.

Konsulat Malaysia di Chennai sedang menghubungi pelbagai pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan laporan keadaan semasa pelajar-pelajar berkenaan.

Menurut pihak Konsulat, pelajar-pelajar berkenaan hanya boleh dihubungi melalui Facebook memandangkan terdapat gangguan terhadap sistem komunikasi dan perhubungan.

Pihak polis di Srinagar juga telah dihubungi.

JPA kini sedang menyelaraskan hal berkenaan dengan Konsulat Malaysia di Chennai.

Kementerian Luar Negeri menyarankan agar semua pelajar Malaysia di luar negara untuk sentiasa berhubung dengan pejabat Kedutaan Malaysia di negara masing-masing dan sentiasa melaporkan pergerakan mereka.

Sumber: Kementerian Luar Negeri, Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Encik Neermal Shunmugam
Department of Information and Public Diplomacy (JPDA)
Ministry of Foreign Affairs, Malaysia
Tel: 03-88874188 - Bernama

No comments:

Post a Comment