Tuesday, September 9, 2014

70,000 jemaah Nigeria dibenarkan tunai haji


SEKUMPULAN jemaah haji dari Nigeria beratur untuk menaiki pesawat bagi menunaikan haji ke Mekah. - Agensi
ABUYA 8 Sept. - Kerajaan Arab Saudi membenarkan kira-kira 70,000 jemaah haji dari Nigeria menunaikan haji musim ini, walaupun negara itu merupakan antara negara Afrika Barat yang dilanda wabak virus Ebola.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Perancangan dan Pembangunan Arab Saudi, Mohammed Al-Khasheem, Arab Saudi tidak menyekat pengeluaran visa kepada jemaah haji Nigeria.
Katanya, Jabatan Pencegahan Perubatan kementerian tersebut akan berhubung terus dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mendapatkan perkembangan terkini berkaitan virus Ebola dan penyakit berjangkit lain.
Katanya, WHO juga memberi jaminan keadaan di Mina dan Arafah adalah selamat daripada wabak Ebola.
Sejak wabak itu dikesan, Nigeria melaporkan 13 kes yang disahkan dijangkit wabak itu dengan lima kematian, manakala empat lagi mangsa telah pulih sepenuhnya.
"Kami telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan wabak Ebola merebak di Arab Saudi semasa musim haji ini,'' kata Al-Khasheem.
Menurut Timbalan Menteri itu, kementerian berkenaan akan memberi tumpuan pada jemaah yang tiba melalui 16 pintu masuk, termasuklah di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah, pintu utama untuk jemaah haji dan Lapangan Terbang Putera Muhammed di Madinah.
Negara Afrika Barat yang terjejas teruk dengan wabak Ebola ialah Guine yang melaporkan 510 kes dengan 377 kematian, Sierra Leone dengan 670 kes dan 355 kematian serta Liberia dengan sebanyak 670 kes yang melibatkan 355 kematian.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140909/lu_05/70000-jemaah-Nigeria-dibenarkan-tunai-haji#ixzz3Clet8lRO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment