Tuesday, September 9, 2014

Mahmud Bekir percaya bekas isteri dipengaruhi


KUALA LUMPUR 8 Sept. - Ahli perniagaan, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib berpendapat bahawa bekas isterinya telah terpengaruh dan mempercayai fitnah yang dilemparkan berhubung kekayaan peribadinya sehingga menyebabkan wanita itu mengemukakan tuntutan nafkah mutaah, anak dan harta sepencarian berjumlah RM521 juta.
Ujarnya, sebelum bercerai, mereka tidak pernah membincangkan perkara tersebut malahan hal itu tidak pernah disentuh oleh mana-mana pihak.
"Selepas saya melafazkan talak, dia (Shahnaz A. Majid) jadi marah dan melihat pada tuntutannya ia seolah-olah ingin menghukum saya. Dalam tuntutannya pula, memetik laporan Sarawak Report yang telah keluarkan laporan palsu," katanya.
Terdahulu, Mahmud Abu Bekir memberitahu beliau tidak menceraikan bekas isterinya itu walaupun telah duduk berasingan selama 12 tahun atas dasar kasihan.
Tambahnya, setiap kali beliau membangkitkan isu tersebut, Shahnaz dilihat seperti tidak ambil endah dan seolah-olah tidak mahu bercerai.
Sepanjang tempoh 'perpisahan' itu, lelaki terbabit menyatakan dia masih lagi bertemu dengan Shahnaz walaupun tidak kerap, bagi membincangkan hal-hal berkaitan anak mereka atau aktiviti lain seperti mengumpul derma, ujar beliau.
Anak kepada bekas Ketua Menteri Sarawak yang kini Yang Dipertua Negeri Sarawak itu berkata demikian ketika disoal oleh peguam syarie yang mewakilinya, Sa'adiah Din dalam perbicaraan tuntutan nafkah mutaah RM100 juta oleh Shahnaz, 51, di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini hari ini.
Selain daripada tuntutan mutaah tersebut, kakak kepada penyanyi terkenal, Datuk Sheila Majid itu turut menuntut nafkah anak sebanyak RM121 juta dan RM300 juta bagi harta sepencarian.
Pasangan tersebut bernikah pada 9 Januari 1992 sebelum bercerai pada 11 Mei 2011 dan dikurniakan seorang anak, Raden Murya, 21.
Shahnaz diwakili peguam syarie, Akbardin Abdul Kader dan Dr. Mohd. Rafie Shafie.
Menjawab pertanyaan mengenai harta yang disenaraikan oleh Shahnaz, Mahmud Abu Bekir mendakwa, gambar-gambar rumah kediaman dan kereta diambil tanpa kebenaran ataupun dimaklumkan kepadanya oleh bekas isteri atau wakil wanita terbabit.
Ujarnya, beliau merasakan ruang peribadinya telah diceroboh dengan tindakan sedemikian.
Ahli perniagaan itu juga sempat menyatakan rasa kecewanya terhadap salah sebuah bank tempatan, Malayan Banking Bhd. (Maybank) kerana mendedahkan maklumat mengenai kad debit yang dimiliki beliau kepada bekas isterinya itu tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu.
Perbicaraan yang didengar oleh Hakim Syarie, Muhamad Abdul Karim Wahab bersambung pada 17 November ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140909/ma_02/Mahmud-Bekir-percaya-bekas-isteri-dipengaruhi#ixzz3Clgx81RC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment