Tuesday, September 2, 2014

KDN sokong tindakan polis tahan anggota PPS - Zahid



DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Segambut, di sini hari ini. - Foto Asyraf Hamzah
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyokong penuh tindakan polis menahan lebih 150 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di Pulau Pinang semalam, selepas pasukan itu ingkar amaran supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti kerana PPS adalah pertubuhan haram.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penahanan anggota PPS itu dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengeluarkan surat rasmi yang menyatakan bahawa pertubuhan itu tidak berdaftar dengan ROS.
"Walaupun pihak polis mengalu-alukan semua individu dan organisasi serta pihak tertentu untuk membantu polis di dalam menjaga keamaan, tetapi pendekatan untuk mencabar polis bukan sesuatu yang bijak.
"Tentu sekali apa yang sedang berlaku itu (penahanan anggota PPS) adalah akibat daripada tindakan mencabar undang-undang yang sedia ada," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Segambut, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai penahanan 154 orang anggota pasukan itu di kawasan Padang Kota, Pulau Pinang, semalam.
Ahmad Zahid berkata, kementeriannya dan beberapa kementerian lain telah mempunyai badan-badan sukarela yang ditubuhkan untuk membantu pihak polis menjaga keamanan negara.
Katanya, di bawah KDN, pasukan seperti Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) telah ditubuhkan selain Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
"Kalau mahu menjaga soal keselamatan kita ada RELA, ada program Community Policing, kita ada Rakan Cop yang boleh membantu dan pasukan Rukun Tetangga...tidak perlu menubuhkan pertubuhan lain," katanya.
Beliau menambah, soal menjaga keselamatan terletak di bawah kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam perundangan dan perlembagaan negara dan bukannya bidang kuasa kerajaan negeri.
Ahmad Zahid berkata, berdasarkan laporan yang diterima pihak polis, terdapat di kalangan anggota PPS yang melakukan tindakan di luar batas seperti memukul, mengugut dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang ramai.
"Tindakan ini di luar perundangan kerana seolah-olah mereka menggunakan kuasa polis...itu bukan tugas sukarelawan. Saya harap masyarakat dapat melihat tindakan yang dilakukan polis kerana adanya laporan mengenai tindakan negatif mereka," katanya.
Beliau berkata, tindakan sama turut akan dikenakan terhadap mana-mana pasukan atau pertubuhan yang tidak berdaftar dengan ROS.
Khamis lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan bahawa kerajaan Persekutuan tidak membenarkan mana-mana negeri menubuhkan pasukan keselamatan mereka sendiri kerana soal keselamatan adalah tanggungjawab kerajaan Persekutuan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini turut mengeluarkan kenyataan bahawa PPS dianggap sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan kerana tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment