ISLAMABAD - PAKISTAN. Pemimpin pembangkang Pakistan, Imran Khan berikrar akan terus bertempur dengan polis di luar kediaman perdana menteri sejak malam kelmarin.

"Saya minta rakyat bangkit. Ini bukan kerajaan berperlembagaan, mereka adalah pembunuh. Saya seru semua rakyat untuk keluar.

"Kami sedia memfailkan tuduhan membunuh terhadap Perdana Menteri, Nawaz Sharif susulan insiden ini," katanya kepada AFP.

Pada kejadian itu, sekurang-kurangnya tiga dilaporkan maut dan lebih 400  orang cedera.

Keganasan tercetus selepas ribuan penyokong Khan dan pengikut Tahir ul Qadri cuba menyerbu kediaman Sharif.

Sehingga semalam, pertempuran yang memasuki tempoh 15 jam itu makin ganas apabila jumlah penunjuk perasaan mula meningkat.

Pengadang jalan dan kenderaan dibakar hingga polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata.

Keganasan itu tercetus selepas kumpulan pembangkang menuntut Syarif meletak jawatan pada 15 Ogos lalu.

Mereka juga mendakwa, Pilihan Raya 2013 yang dimenangi pemimpin itu mempunyai unsur penipuan.

Terdahulu, Menteri Penerangan, Pervaiz Rashid berkata, kerajaan sedia berunding dengan kumpulan itu. Namun, ia bertukar ganas selepas polis mula melepaskan gas pemedih mata.