Tuesday, September 2, 2014

Pergolakan di timur Ukraine semakin meruncing


BARISAN kereta kebal tentera Ukraine meninggalkan bandar tawanan kumpulan pemberontak pro-Rusia di Starobesheve, timur Ukraine, Sabtu lalu. - AP
KIEV 1 Sept. - Tentera Ukraine hari ini bertempur dengan sekumpulan kereta kebal milik tentera Rusia di timur bandar Luhansk ketika Kiev menyelar tindakan tentera Rusia yang cuba memasuki bandar-bandar besar Ukraine.
Jurucakap tentera, Leonid Matyukhin menerusi laman web Facebook memaklumkan, pertempuran berlaku antara tentera udara Ukraine dan segerombolan kereta kebal tentera Rusia dalam usaha mereka untuk mengawal pangkalan udara di Luhansk.
Menteri Pertahanan Ukraine, Valeriy Geletey berkata, unit tentera Rusia kini bergerak memasuki beberapa bandar lain di Ukraine, termasuk bandar terbesar di wilayah Donetsk.
"Maklumat tentang kedatangan tentera Rusia di sana telah disahkan. Kami sedang berperang dengan Rusia. Kami juga hanya akan mengadakan rundingan dengan wakil Kremlin dan bukan dengan pemberontak pro-Rusia," kata beliau.
Presiden Ukraine, Petro Poroshenko hari ini turut menuduh Rusia melancarkan sera­ngan agresif yang secara langsung mengubah keadaan antara Kiev dengan kumpulan pemberontak.
Tambah beliau, perubahan dalam pengurusan tertinggi tentera akan dilakukan berikutan pertempuran yang berlaku antara tentera Ukraine dengan kumpulan pemberontak minggu lalu.
Kumpulan pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine sebelum ini telah menawan sebahagian besar kawasan rantau tersebut yang diperkukuhkan oleh bantuan bekalan senjata dan tentera dari Rusia.
Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut menuduh Moscow menghantar 1,000 anggota tenteranya memasuki sempadan Ukraine yang merupakan kawasan tawanan kumpulan pemberontak.
Namun Moscow menafikan dakwaan tersebut dan memaklumkan, tentera pe­nerjun udaranya memasuki kawasan Ukraine yang terletak kira-kira 20 kilometer dari sempadan Rusia secara tidak sengaja.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140902/lu_08/Pergolakan-di-timur-Ukraine-semakin-meruncing#ixzz3C6LmT0oC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment