Tuesday, September 2, 2014

MH17: Pesawat bawa 9 jenazah tiba di pekarangan Kompleks Bunga Raya


ANGGOTA pengiring Tentera Diraja Malaysia yang lengkap berseragam putih mengiringi keranda jenazah ke kenderaan jenazah dengan penuh adat istiadat ketenteraan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini. - Foto Effendy Rashid
SEPANG: Pesawat komersial MH19 bawa sembilan 9 jenazah mangsa nahas MH17 tiba di pekarangan Kompleks Bunga Raya jam 8.30 pagi selepas selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jam 6.37 pagi tadi.
Ketibaan sembilan jenazah - tujuh rakyat Malaysia dan dua warga Belanda itu - akan disambut dalam satu Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, menteri-menteri Kabinet dan orang kenamaan antara yang hadir.
Ketibaan sembilan jenazah itu termasuk dua juruterbang pesawat MH17 iaitu Kapten Wan Amran Wan Hussin dan Kapten Eugene Choo Jin Leong.
Dua jenazah warga Belanda iaitu Paul Goes serta Fan Shun Po adalah penumpang dan bendera Belanda diletak masing-masing di atas keranda serta bekas abu mereka.
Lima jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan dan tempat persemadian menggunakan kenderaan jenazah manakala empat jenazah lagi akan diterbangkan menggunakan dua buah helikopter EC725.
Dua jenazah akan diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang manakala masing-masing satu jenazah ke Bukit Mertajam dan Teluk Intan.
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liong Tiow Lai dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 8.30 pagi ini.
PESAWAT Malaysia Airlines (MAS) MH19 yang membawa tujuh jenazah rakyat Malaysia dan dua jenazah rakyat Belanda tiba di pekarangan Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 8.30 pagi ini. - Foto BHOnline
Bagi penerbangan ke Bukit Mertajam, jenazah terlebih dahulu dibawa ke Taman Skyline, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur dengan kenderaan jenazah sebelum diterbangkan ke Bukit Mertajam.

No comments:

Post a Comment