ISLAMABAD - PAKISTAN. Selepas berhimpun di hadapan rumah Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sahrif sejak kelmarin, ribuan penunjuk perasaan antikerajaan makin ganas apabila menggempur stesen penyiaran di sini, semalam.

Jurucakap polis memberitahu, transmisi saluran berita utama Televisyen Pakistan (PTV) diputuskan sejurus pemberita mengumumkan kemaraan kumpulan protes terbabit di bangunan stesen berkenaan .

Kumpulan penunjuk perasaan pro pemimpin parti pembangkang, Imran Khan itu juga turut bertempur dengan pihak berkuasa beberapa jam selepas tentera menggesa krisis politik itu diselesaikan secara aman lapor AFP.

Anggota keselamatan terpaksa melepaskan gas pemedih mata selepas kumpulan itu membaling batu dan merosakkan harta benda awam.