TOKYO - JEPUN. Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, semalam menamakan lima wanita ke dalam Kabinet baharu selepas melaksanakan rombakan pertama terhadap barisan kementerian sejak Disember 2012.

Lima wanita itu akan membentuk satu perempat daripada 18 Kabinet sedia ada dan ia dilihat bertepatan dengan misi beliau yang ingin 30 peratus daripada jawatan kanan politik dan perniagaan disandang oleh wanita menjelang 2020.

Menurut Abe, kerajaan perlu mempunyai lebih ramai wanita untuk berkecimpung dalam tenaga kerja bagi memenuhi jurang pasaran buruh yang semakin meningkat disebabkan peningkatan jumlah pesara lapor AFP.

"Kita perlu menyemak semula idea yang melihat segala-galanya dari sudut pandangan lelaki. Sumber paling kurang dimanfaatkan adalah kuasa wanita dan Jepun mesti menjadi tempat di mana wanita diberi peluang untuk bersinar," katanya.

Difahamkan, rombakan Kabinet itu adalah sebagai sebahagian daripada latihan dalam mengukuhkan lagi kuasanya selain bertujuan menghidupkan semula agenda ekonomi dan keselamatan.