Thursday, September 4, 2014

Tidak sarapan undang diabetes


LONDON 3 Sept. - Tabiat tidak mengambil sarapan pagi secara sihat dalam kalangan kanak-kanak boleh mengundang risiko menghidap penyakit diabetes apabila usia mereka meningkat dewasa, lapor satu kajian oleh pakar pemakanan Britain.
Portal berita Mail Online yang memetik kajian pakar pemakanan tiga pusat pengajian, Universiti Oxford, Cambridge, Glasgow dan St George menunjukkan, risiko tersebut boleh berlaku disebabkan tahap insulin dalam badan kanak-kanak, sekali gus menjadi faktor utama penyakit tersebut.
Dalam jurnal sains, PLOS Medicine, pakar yang mengetuai kajian berkenaan, Dr. Angela Donin dari Universiti St George di London berkata, tahap insulin yang tinggi menyebabkan badan kanak-kanak kurang bertindak-balas terhadap perkembangan hormon yang kebiasaannya akan mengawal jumlah gula dalam aliran darah.
Jelas Angela, penyakit diabetes boleh berlaku apabila badan individu tidak bertindak balas ke atas kandungan gula dalam badan atau kurang menghasilkan hormon itu.
Tambahnya, kanak-kanak yang tidak mengambil sarapan secara sihat lebih cenderung untuk makan makanan yang mengundang kegemukan pada waktu tengah hari atau malam selepas kajian sebelum ini mendapati hampir tiga juta penduduk Britain menghidap penyakit diabetes yang dikaitkan dengan corak pemakanan dan gaya hidup.
"Cara yang terbaik untuk mengelakkan gejala ini berlaku, kanak-kanak digalakkan mengambil bijirin pada waktu sarapan yang merupakan juadah terbaik untuk menentang penyakit diabetes.
"Tabiat mengambil sarapan pagi pada setiap hari boleh mengurangkan gejala pengambilan makanan ringan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi dan menyebabkan risiko penyakit diabetes," katanya.
Dalam pada itu, Pengarah pusat kajian penyakit diabetes, Diabetes UK yang membiayai kajian terbabit, Dr. Alasdair Rankin berkata, lebih banyak penyelidikan perlu dijalankan bagi mengaitkan penyakit tersebut dengan pengambilan sarapan.
"Amalan sarapan secara sihat dalam kalangan kanak-kanak sebagai diet seimbang boleh mendapat banyak manfaat bagi mengelakkan golongan itu terdedah kepada penyakit," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140904/lu_09/Tidak-sarapan-undang-diabetes#ixzz3CHzWVQ6e
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment