Tuesday, October 28, 2014

4,000 kes baru setiap tahun

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

mrizanizam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Barah payudara yang menjadi penyebab utama kematian wanita di negara ini merekodkan hampir 4,000 kes baru setiap tahun dengan nisbah satu daripada 19 wanita berisiko dijangkiti penyakit berkenaan.
Pakar Bedah Payudara dan Endokrin Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Nor Azham Hakim Darail berkata, data daripada Daftar Kanser Kebangsaan (NCR) itu turut menunjukkan majoriti pesakit membabitkan wanita berusia dalam lingkungan 40 hingga 60 tahun.
“Bilangan kes baru mungkin meningkat kira-kira 10 peratus setahun. Pada 2004 ia membabitkan kira-kira 3,400 pesakit baru dan meningkat menjadi hampir 4,000 kes sehingga kini.
“Di HKL saja, setiap tahun kita memeriksa 600 pesakit dan daripada jumlah itu, purata terdapat 200 pesakit baru. Angka itu bagaimanapun tidak termasuk pesakit di hospital kerajaan dan swasta lain di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Kempen dan Seminar Kesedaran Payudara Peringkat HKL dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya di HKL, semalam.
Hadir sama, Pengarah HKL Datuk Dr Zaininah Mohd Zain dan Ketua Jabatan Pengimejan Diagnostik HKL Dr Zaleha Abdul Manaf.
Dr Nor Azham Hakim berkata, 60 peratus daripada pesakit barah payudara itu dikesan menghidap penyakit berkenaan ketika sudah pada tahap dua dan tiga, 25 peratus pada tahap empat iaitu tahap akhir manakala 15 peratus lagi pada tahap satu.
“Terdapat dua punca berlaku keadaan itu iaitu kurangnya kesedaran diri untuk membuat pemeriksaan awal serta tiada program yang mewajibkan mereka menjalani pemeriksaan melainkan dilakukan secara sukarela.
“Barah payudara boleh dicegah jika dikesan dan dirawat lebih awal kerana ia satu daripada barah mudah dikesan dengan cara melakukan pemeriksaan sendiri payudara (PSP),” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:16 AM


PROGRAM Pink Spirit Carnival & Blood Donation di Pusat Perubatan Tropicana, Kota Damansara.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/4652#sthash.cYabrHjR.dpuf

No comments:

Post a Comment