Thursday, October 2, 2014

Dream Chaser, pesawat ke angkasa mungkin dibiayai Paul Allen

TORONTO: Dream Chaser, pesawat yang direka untuk membawa penumpang ke angkasa tetapi gagal mendapat pembiayaan daripada NASA sebelum ini, mungkin dapat diteruskan pembangunannya menerusi dana daripada billionaire Paul Allen.
Allen, pengasas bersama Microsoft dikatakan berminat membiayai pembangunan Dream Chaser keluaran Sierra Nevada Corp menerusi sebuah firma pemula miliknya yang meneroka bidang aeroangkasa, Stratolaunch Systems.
Sierra Nevada mengumukakan protes kepada NASA berhubung keputusan agensi angkasa Amerika Syarikat itu pada 16 September lalu yang memberi kontrak AS$6.8 (RM22.3) bilion kepada Boeing dan Space Exploration Technologies, milik usahawan teknologi Elon Musk, untuk membangunkan teksi angkasa membawa angkasawan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Jabatan Akauntabiliti Awam AS dijangka membuat keputusan berhubung protes yang difailkan Sierra Nevada pada Jumaat lalu, menjelang 5 Januari tahun depan.
Bagaimanapun, tanpa mengambil kira keputusan jabatan itu, Sierra Nevada yang berpangkalan di Colorado, akan tetap membangunkan Dream Chaser, sebuah pesawat seperti kapal angkasa mini yang mampu memuatkan tujuh penumpang.
Semalam, Stratolaunch Systems mengumumkan rancangannya untuk membeli kapal angkasa Dream Chaser tetapi bagi varian yang mampu membawa tiga penumpang untuk menyokong Sistem Pengangkutan ke Orbit Angkasa yang sedang dibangunkannya di Mojave, California.
Stratolaunch kini sedang membangunkan pesawat gergasi yang akan berfungsi sebagai tapak pelancaran di udara untuk menghantar satelit dan seterusnya membawa manusia ke orbit.
Pengarah Eksekutif Stratolaunch, Charles Beames, berkata pesawat itu mempunyai sayap sepanjang 117 meter dan akan dijana enam enjin B747, kini sudah 50 peratus siap.
Berucap di Kongres Astronomi Antarabangsa di sini malam tadi, Beames berkata pada peringkat awal sistem itu akan menghantar satelit seberat 6,124 kg ke orbit pada ketinggian antara 180 km hingga 2,000 km di atas bumi.
"Penerbangan percubaan dijangka dilaksanakan pada 2018," katanya.
Selain satelit, pesawat dibangunkan Stratolaunch itu boleh juga melancarkan kapal angkasa Dream Chaser yang mungkin dijana roket.
"Dream Chaser setakat ini nampaknya adalah antara cara paling logik untuk (membawa penumpang) ke angkasa. Kami puas hati kerana sudah membuat penilaian yang mencukupi, ..cuma Paul (Allen) belum lagi membuat keputusan," katanya.
Mengikut Beames, Allen dijangka membuat keputusan mengenai projek itu sebelum hujung tahun ini.
Paul Allen adalah antara 60 individu terkaya di dunia, dengan kekayaannya kini dianggarkan bernilai AS$15.7 (RM51.4 bilion). - Reuters

No comments:

Post a Comment