Thursday, October 2, 2014

Soal pemecatan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Selangor tidak timbul - Azmin

SHAH ALAM : Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali tidak menolak kemungkinan akan menyediakan pejabat baru kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan tugasnya sebagai Penasihat Ekonomi Selangor selepas pejabatnya ditutup, bulan lalu.
"Kita sudah meneliti minit mesyuarat EXCO lalu yang diputuskan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ialah menutup Pejabat Penasihat Ekonomi, jadi tidak timbul soal pemecatan.
"Sekarang kita akan berbincang lagi fungsi dan peranan yang akan dimainkan Penasihat Ekonomi Selangor dan sudah tentu kita akan beri kemudahan termasuk pejabat, sesuai dengan peranan yang akan dimainkan beliau," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama mingguan EXCO Kerajaan Negeri Selangor di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.
Bulan lalu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor bersetuju menutup Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri di Plaza Perangsang serta-merta bagi menjimatkan kos pentadbiran.
Dalam pada itu, Azmin turut menjelaskan akan mengkaji dan meneliti semula semua perjanjian yang sudah ditandatangani di bawah pentadbiran Abdul Khalid termasuk isu air serta pembinaan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX).
Beliau berkata, satu pertemuan antara pihaknya dan Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) akan diadakan esok bagi mendapatkan penjelasan berhubung langkah pengambilalihan operasi dan penstrukturan semula air di negeri terbabit.

No comments:

Post a Comment