Thursday, October 2, 2014

Muhammad Safwan dakwa diugut ahli Pas



KUALA LUMPUR 1 Okt. - Bekas Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Muhammad Safwan Anang hari ini membuat laporan polis kerana mendakwa menerima ugutan berbentuk ancaman selepas menggesa Pas keluar daripada pakatan pembangkang.
Beliau yang merupakan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) yang propakatan pembangkang mendakwa, ugutan tersebut diterima sebelum dan selepas Lensa menghantar surat gesaan kepada Pas di ibu pejabat parti itu tengah hari semalam.
Menurutnya, ugutan yang diterima menerusi panggilan telefon itu dibuat oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ahli jawatankuasa di Ibu Pejabat Pas.
"Saya dapat panggilan sebelum surat dihantar, pemanggil yang menggelarkan dirinya sebagai Fadhil dan berasal dari Shah Alam memaksa supaya surat tersebut tidak dihantar kepada Pas sebaliknya meminta saya memberikan terus kepadanya.
"Dalam perbualan telefon pagi itu, pemanggil mengugut agar saya tidak menghantar surat dan jika saya berdegil dia akan mencari saya sehingga ke lubang kubur, pukul dan memberitahu kononnya dia mengenali emak dan isteri saya," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini hari ini.
Muhammad Safwan berkata, laporan polis yang dibuat itu bukanlah untuk menarik perhatian pelbagai pihak sebaliknya berkaitan keselamatan ahli keluarganya.
Kata beliau, lebih memburukkan keadaan, pemanggil berkenaan turut memaksanya untuk mengadakan pertemuan di hadapan banggunan Pas semalam selepas Lensa menghantar surat gesaan tersebut.
Bagaimanapun dakwanya, pemanggil tersebut yang mendakwa ditemani enam rakannya hanya mahu mengadakan pertemuan dengan Muhammad Safwan seorang diri.
"Dalam pertemuan itu, dia mempersoalkan mengapa kami hanya menghantar surat itu kepada Pas, mengapa tidak kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Saya hanya memberi reaksi, tindakan Lensa merupakan satu usaha untuk melihat keadilan dalam parti," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141002/je_07/Muhammad-Safwan-dakwa-diugut-ahli-Pas#ixzz3EwMROL5D
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment