Gambar fail menunjukkan struktur bangunan dibina oleh China berhampiran Kepulauan Spratly yang menjadi pertikaian antara Filipina, Malaysia dan Vietnam.
Gambar fail menunjukkan struktur bangunan dibina oleh China berhampiran Kepulauan Spratly yang menjadi pertikaian antara Filipina, Malaysia dan Vietnam.
BEIJING - CHINA. Beijing menyangkal dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa negara itu sedang membina sebuah pulau tiruan di Kepulauan Spratly dan menyifatkannya sebagai kenyataan tidak bertanggungjawab.

Kenyataan Kementerian Luar China itu dikeluarkan selepas jurucakap tentera AS menggesa Beijing supaya menghentikan projek penambakan besar di kawasan kepulauan berkenaan.

“Pihak luar tidak ada hak untuk membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab,” kata jurucakap Kementerian Luar, Hua Chunying.

Katanya, aktiviti pembinaan yang dilakukan oleh China adalah untuk menambah baik keadaan bagi kakitangannya yang bekerja dan tinggal di pulau berkenaan.

Sementara itu, Mejar Jeneral (B) Luo Yuan, salah seorang tokoh tentera China paling lantang bersuara, mengeluarkan amaran kepada AS supaya mengalihkan tumpuan daripada isu tersebut kerana mendakwa Beijing tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Kenyataan AS ternyata berat sebelah memandangkan Filipina, Malaysia dan Vietnam telah menyediakan kemudahan ketenteraan berhampiran kawasan itu.

"China tidak akan tunduk dengan tekanan antarabangsa dan akan meneruskan projek pembinaan itu kerana ia sah dan tidak melanggar undang-undang," katanya kepada Press TV.

Satu laporan minggu lalu oleh ‘IHS Jane’s Defence’ mendedahkan maklumat baharu mengenai projek penambakan China di ‘Fiery Cross Reef’, yang dikenali sebagai ‘Yongshu’ dalam bahasa Cina.

Rangkaian kepulauan itu yang digelar oleh China sebagai ‘Nansha’, juga dituntut sebahagian atau sepenuhnya oleh Filipina, Malaysia, Vietnam, Taiwan dan Brunei.