Tuesday, November 25, 2014

Keputusan juri dalam kes Brown cetuskan rusuhan di Ferguson

FERGUSON: Keputusan juri tidak mendakwa anggota polis dalam kes kematian membabitkan remaja kulit hitam, Michael Brown mencetuskan rusuhan ganas di Ferguson hari ini.
Berikutan kejadian itu, Presiden Barack Obama dan keluarga remaja berusia 18 tahun itu merayu secara berasingan agar pihak yang merusuh itu supaya bertenang.
Peguam Pendakwa Wilayah St Louis, Robert McCulloch berkata anggota polis, Darren Wilson melepaskan tembakan sebanyak 12 kali bagi mempertahankan diri selepas terbabit dalam perbalahan dengan Brown, dan justeru pihak juri berpendapat tidak ada alasan bagi pihak berkuasa memfailkan tuduhan.
Ketika McCulloch merumuskan keputusan juri itu, ibu Brown kelihatan menitiskan air mata.
Orang ramai di luar balai polis di mana Wilson bertugas mula merusuh selepas keputusan itu diumumkan dengan melemparkan botol dan batu.
Sebuah kereta polis dibakar dan stor di balai berkenaan digeledah.
Polis antirusuhan bertindak balas dengan melepaskan gas pemedih mata, menyebabkan berlaku pertempuran di jalan raya di sekitar St Louis.
Sekumpulan perusuh merempuh masuk ke sebuah kedai telefon bimbit di seberang ibu pejabat polis itu dan mencuri barangan di dalamnya.
Seorang pesara, Pam Bailey dalam lingkungan usia 60-an berkata, beliau memang menjangka keputusan itu.
"Saya sudah hidup lama untuk mengetahui yang rakyat Amerika Afrika tidak dianggap sebagai manusia," dakwanya.
Perarakan bantahan diadakan di beberapa bandar raya Amerika tetapi setakat ini belum ada laporan mengenai kekacauan di sekitar Missouri.
Di luar Rumah Putih, sekumpulan orang mempamerkan sepanduk bagi menggesa kerajaan supaya menghentikan keganasan rasis oleh polis.
Di Washington, Obama muncul di kaca televisyen bagi merayu semua pihak supaya bertenang, nada yang sama seperti yang disuarakan oleh keluarga Brown.
"Ibu bapa Michael Brown kehilangan lebih daripada orang lain.
"Kita mesti menghormati kehendak mereka," kata Obama.
"Saya juga menggesa pihak berkuasa di Ferguson dan kawasan serantau supaya berhati-hati dalam menangani bantahan yang berlaku," tambah Obama. - AFP

No comments:

Post a Comment