Shinzo Abe
Shinzo Abe
TINDAKAN Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe membubarkan Dewan Rakyat minggu lalu bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan pada pertengahan bulan depan nyata mengejutkan banyak pihak.

Tindakan mengejut itu diambil bertujuan meningkatkan sokongan rakyat terhadap Parti Demokrat Liberal (LDP) di bawah pimpinannya selain ingin mengukuhkan lagi kuasa dan memulihkan ekonomi selepas berlaku beberapa siri skandal kewangan melibatkan anggota Kabinet.

Parti Demokrat Jepun yang menguasai pentadbiran negara selepas Perang Dunia Kedua berkemungkinan besar kehilangan beberapa kerusi, namun masih mampu mengekalkan majoriti Dewan Rakyat yang mempunyai 480 kerusi keseluruhan.

Pilihan raya dijangka diadakan pada 14 Disember selepas Abe menangguhkan kenaikan cukai jualan yang dirancang berikutan kedudukan ekonomi Jepun yang semakin merudum.

Keputusan mengadakan pilihan raya juga dilihat sebagai langkah untuk mendapatkan mandat rakyat berhubung dasar pemulihan ekonominya dikenali sebagai Abenomics.


Permulaan kerjaya

Shinzo Abe dilahirkan pada 21 September 1954 di Nagato, Yamaguchi, Jepun di dalam sebuah keluarga ahli politik terkemuka.

Datuknya, Kan Abe dan bapanya Shintaro Abe adalah ahli politik. Manakala, ibunya, Yoko Kishi merupakan anak kepada Nobusuke Kishi, iaitu Perdana Menteri Jepun daripada tahun 1957 hingga 1960.

Setelah menamatkan pengajian dalam bidang  dasar awam di Universiti of Southern California’s School of Public Policy di Amerika Syarikat pada 1979, beliau memulakan dunia pekerjaannya di Kobe Steel.

Pada 1982, Abe meninggalkan syarikat itu dan menjawat jawatan kerajaan termasuk pembantu eksekutif untuk Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Setiausaha Sulit kepada Pengerusi Majlis Agung LDP dan setiausaha sulit kepada Setiausaha Agung LDP.

Abe, 60, menjadi Perdana Menteri pada Disember 2012 selepas parti LDP pimpinannya memenangi pilihan raya. Ia adalah kali kedua Abe menyandang jawatan tersebut selepas tempoh singkat sebagai Perdana Menteri pada 2006 hingga 2007.

Ketika itu, beliau merupakan pemimpin termuda sejak Perang Dunia Kedua. Bagaimanapun, Abe meletak jawatan setahun selepas itu atas sebab kesihatan.

Namun, Abe kembali memimpin negara selepas LDP dan rakan komponen New Komeito memperoleh majoriti dalam Dewan Rakyat, menewaskan Parti Demokrat (DPJ) yang memerintah ketika itu.

Di bawah kepimpinannya, Abe memperkenalkan pelbagai langkah untuk meningkatkan ekonomi Jepun. Bagaimanapun, hubungan dengan China tegang berikutan pertikaian wilayah di Laut China Timur.


Kemunculan Abe

Abe memenangi kerusi pertamanya pada 1993, dan dilantik ke dalam Kabinet untuk kali pertama pada Oktober 2005. Beliau diberi peranan sebagai setiausaha Kabinet.

Apabila beliau menjadi Perdana Menteri setahun kemudian, beliau dilihat sebagai seorang yang tegas dan lantang serta memiliki imej seperti Perdana Menteri Jepun ke-87, Junichiro Koizumi.

Difahamkan,  beliau menggunakan dasar yang tegas untuk mengangkat Jepun di mata dunia. Namun, beberapa siri skandal beliau dan menterinya dilihat melemahkan kerajaan.

Kehilangan besar LDP pada pilihan raya 2007 menyebabkan Abe meletak jawatan dan hilang seketika dari dunia politik.


Peluang kedua

Pada 2012, Abe kembali semula ke dalam dunia politik dan menyatakan pendirian tegas terhadap ketegangan wilayah dengan China dan Korea Selatan.

Pertemuan Abe dan Presiden China, Xi Jinping ketika kemuncak Apec pada awal bulan ini meningkatkan kemungkinan hubungan baik antara dua buah negara itu.

Kedua-dua negara telah bersetuju untuk bekerjasama dan mengelakkan pertikaian maritim menjadi lebih buruk.

Di dalam negara pula, Abe memulakan langkah pemulihan ekonomi dikenali sebagai Abenomics, iaitu dasar monetari, rangsangan fiskal dan pembaharuan struktur bertujuan meningkatkan ekonomi Jepun.

Langkah ini meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Negara pada 2013, namun ia kembali merosot sejak empat suku lalu sekali gus meletakkan Jepun dalam kemelesetan teknikal.

Salah satu sebab ialah peningkatan dalam cukai jualan pada April, yang dilihat terus menjejaskan penggunaan swasta.

Peningkatan kedua dijadualkan pada 2015, namun Abe memaklumkan langkah itu akan ditunda dan Parlimen akan membubarkan Dewan Rakyat untuk mengadakan pilihan raya lebih awal.


Spekulasi Abe peluk Islam tersebar

Bulan lalu juga, tersebar dakwaan mengatakan Shinzo Abe memeluk Islam dan menukar namanya kepada Asif Khan di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi.

Pegawai kanan kedutaan di Malaysia, Takashi Yokoyama berkata, perkara itu tidak benar dan Kedutaan Jepun menafikan dakwaan tersebut.

“Berita yang tersebar itu tidak benar dan tidak berlaku. Ia hanya khabar angin. Jika benar kami pasti mengetahuinya lebih awal. Perdana Menteri Shinzo Abe tidak memeluk Islam,” katanya.



Cap: Pix 2: Delegasi Tokyo termasuk Perdana Menteri Shinzo Abe bersorak ketika Tokyo diumumkan sebagai pemenang untuk menjadi tuan rumah  Sukan Olimpik Musim Panas 2020.