Wednesday, July 8, 2015

Dedah Bukti Jika Pusat Masih Lengahkan Perjanjian Air - Azmin


Diterbitkan: Selasa, 7 Julai 2015 5:16 PM
Azmin desak kerajaan Pusat segera muktamadkan perjanjian air dengan Selangor.

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengugut untuk mendedahkan beberapa bukti bahawa kerajaan Persekutuan sengaja melengahkan perjanjian air dengan negeri itu jika isu tersebut tidak segera dimuktamadkan.
Beliau berkata, beberapa siri pertemuan telah diadakan terutamanya dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTha) untuk memuktamadkan perjanjian itu tetapi sehingga hari ini tiada perkembangan terbaharu mengenainya.
"Sekiranya perkara ini tak dapat diselesaikan, saya tak ada pilihan melainkan memberitahu kepada umum tentang tindakan tidak bertanggungjawab kerajaan Persekutuan.
"Jangan persalahkan kerajaan negeri. Saya boleh dedahkan banyak bukti yang menunjukkan kerajaan Persekutuan berdolak dalih dan melengahkan perjanjian ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat tergempar Ahli Parlimen pembangkang dan badan bukan kerajaan mengenai pendedahan agensi berita Wall Street Journal (WSJ) berhubung dakwaan sejumlah besar dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, beliau kecewa kerana menerima notis daripada pejabat peguam negara yang menyatakan aset air milik syarikat konsesi air mesti diserahkan bersama tanah.
"Sebelum ini kedua-dua pihak bersetuju supaya aset-aset air milik syarikat konsesi air diserah tanpa tanah dan persetujuan sudah dicapai.
"Tapi hari ini saya dapat notis dari  pejabat peguam negara, aset air mesti diserahkan dengan tanah. Jadi sampai bila isu ini akan dimuktamadkan," katanya.
Malah, Azmin turut merayu kepada KeTTha supaya tidak menukar pendirian mereka mengenai perjanjian air ini.
"Saya masih menunggu, sepatutnya dalam masa terdekat menandatangani perjanjian yang perlu dimuktamadkan. Saya kecewa kerana KeTTha sering menukar pendirian," katanya.
Pada 3 Jun lalu, KeTTha menerusi menterinya, Datuk Maximus Ongkili bersetuju urusan pindah milik aset air syarikat konsesi (CCWA) kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dibuat tanpa pajakan aset tanpa tanah.
Bagaimanapun, pada Isnin, kementerian itu dilaporkan membuat pusingan U apabila mengumumkan untuk memajak aset dan tanah milik kerajaan negeri.

No comments:

Post a Comment