Wednesday, July 8, 2015

Polis Siasat WSJ

Diterbitkan: Rabu, 8 Julai 2015 11:41 AM


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan terhadap media antarabangsa, The Wall Street Journal (WSJ) berhubung laporan yang mendakwa penyaluran sejumlah besar dana ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya menerima banyak laporan dan maklumat berkaitan pembocoran maklumat perbankan seperti mana dakwaan melibatkan Perdana Menteri dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurutnya, PDRM bersama Pasukan Petugas Khas akan menyiasat mengenai isu pembocoran maklumat perbankan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang disifatkan sebagai tindakan "sabotaj ekonomi" kepada negara.
"Kita akan menyiasat tentang pembocoran maklumat perbankan dan menyebarkannya. Kita juga akan siasat Wall Street Journal dalam aspek ini.
"Kita akan siasat mengikut Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer," katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Op Selamat 7/2015 di sini, Rabu.
Pada Jumaat lalu, WSJ menyiarkan artikel yang memetik 'penyiasat yang tidak dinamakan' mendakwa dana AS$700 juta (RM2.6 bilion) milik 1MDB  disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.
Khalid adalah salah seorang anggota Pasukan Petugas Khas selain Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Pasukan Petugas Khas itu ditubuhkan pada 4 Julai lalu bagi menyiasat dakwaan terhadap Najib membabitkan dana daripada 1MDB.

No comments:

Post a Comment