Wednesday, July 8, 2015

Segera Beku Semua Urus Niaga 1MDB - Guan Eng


Diterbitkan: Selasa, 7 Julai 2015 3:45 PM
 Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta semua urus niaga membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibekukan segera susulan dakwaan sejumlah besar dana milik syarikat itu dipindahkan ke akaun peribadi perdana menteri.
Beliau berkata, pembekuan tersebut perlu selepas mengambil kira mungkin wujud salah laku dalam urusan perniagaan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.
"Kita kena tuntut perniagaan 1MDB dibekukan dengan segera, mungkin ada salah laku," katanya pada sidang media selepas pertemuan tergempar Ahli Parlimen Pembangkang bersama badan bukan kerajaan (NGO) di tapak padang kawad Parlimen pada Selasa.
Kira-kira 100 Ahli Parlimen pembangkang dan NGO bermesyuarat secara santai di luar bangunan Parlimen bagi membincangkan dakwaan mengaitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan penyelewengan dana 1MDB.
Malah, Guan Eng berkata, kerajaan Pulau Pinang akan mempertimbangkan untuk membekukan urusan perniagaan tanah 1MDB di negeri itu.
"Saya sebagai ketua menteri Pulau Pinang akan memulakan tindakan membekukan urusan tanah di Pulau Pinang. Kita minta negeri lain pun bertindak sedemikian," katanya.
Jelas beliau, kemelut 1MDB turut memberi kesan kepada ekonomi negara sehingga menyebabkan Ringgit Malaysia mengalami kejatuhan teruk.
"Saya percaya ekonomi kita hanya akan pulih selepas isu 1MDB ini selesai," katanya.
Beliau turut menuntut supaya perdana menteri membubarkan Parlimen dengan segera bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum yang baharu diadakan.
"Kita menuntut supaya pilihan raya umum yang baharu diadakan segera. Kita mahu pilihan raya yang bersih supaya dapat mewujudkan kerajaan bersih," katanya.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendesak Najib supaya mengambil cuti rehat bagi membolehkan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan 1MDB disiasat tanpa halangan.
"Beliau wajar ambil cuti. Kami mahu beliau bersikap 'gentleman' dengan membenarkan badan bebas untuk mengetuai siasatan ini. Dakwaan ini adalah perkara serius dan melibatkan kepercayaan yang besar," katanya.
Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, pengakuan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail telah meneliti  dokumen siasatan 1MDB membuktikan dakwaan itu amat serius.
Malah, dakwa beliau, tindakan polis tidak membenarkan Ahli Parlimen Pembangkang untuk menggunakan bilik mesyuarat di bangunan Parlimen membuktikan ada sesuatu yang cuba disembunyikan.
"Kami datang untuk bermesyuarat tetapi dilayan seperti ini. Ia membuktikan ada sesuatu yang cuba disembunyikan. Mengapa sukar untuk benarkan kami guna bilik taklimat itu?," soalnya.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hassan yang turut hadir pada mesyuarat tergempar itu menyokong gesaan pemimpin DAP dan PKR terhadap Najib supaya mengambil cuti rehat bagi melancarkan siasatan.
"Kami hadir untuk menunjukkan solidariti dan kesatuan terhadap pimpinan pembangkang dan NGO terhadap isu 1MDB. Kita juga sokong tindakan selepas ini," katanya.
Ketika ditanya mengenai ketidakhadiran Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau berkata, keadaan kesihatan Presiden PAS itu tidak begitu mengizinkan.
"Beliau tak sihat. Beliau ada di sini beberapa hari lalu. Saya dan beberapa pemimpin PAS yang lain ada sebagai wakil," katanya.

No comments:

Post a Comment