Angela Merkel (kiri) dan Francois Hollande (kanan) mengadakan pertemuan di Istana Elysee, Paris, kelmarin menggesa Greece mengemukakan cadangan baharu untuk menyambung semula rundingan berhubung bantuan untuk membantu Greece keluar daripada kemelut ekonomi. AFP
Presiden Perancis, Francois Hollande berkata, pintu rundingan sudah terbuka dan kini kerajaan pimpinan Perdana Menteri Mesir, Alexis Tsipras perlu mengemukakan cadangan yang serius dan berkredibiliti.
“Cadangan berkenaan perlu untuk menunjukkan kesungguhan (Greece) terus berada dalam blok Eropah,’’ katanya selepas pertemuan dengan Canselor Jerman, Angela Merkel.
Merkel berkata, syarat-syarat untuk menetapkan pakej bantuan baharu kepada Greece masih belum dipenuhi.
“Kami masih menunggu cadangan daripada Perdana Menteri Greece (Tsipras), satu program yang akan menyaksikan kemakmuran negara itu,’’ katanya.
Tsipras dijangka mendedahkan cadangan kerajaan pimpinannya pada sidang khas melibatkan 19 negara Eropah di Brussels, hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Dana Kewangan Antabangsa (IMF), Christine Lagarde berkata, pihaknya akan membantu Greece jika diminta berbuat demikian.
“IMF memantau situasi dan bersedia membantu Greece jika dikehendaki berbuat demikian,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Jurucakap IMF pula berkata, Legarde telah bertemu Tsipras dan menawarkan bantuan teknikal tetapi pihaknya tidak boleh membantu daripada segi kewangan selepas Athens gagal membayar hutang IMF pada minggu lepas. – AFP