Thursday, August 6, 2015

Lagi Serpihan Bangkai Pesawat Ditemui di Pulau Reunion


Diterbitkan: Khamis, 6 Ogos 2015 7:10 PM
Foto yang dirakamkan oleh agensi berita antarabangsa, AFP ini menyebut seorang pakar penerbangan (tengah) dari Malaysia sedang mencari sebarang bahan bukti yang dapat dikaitkan dengan pesawat malang MH370 di persisiran pantai Pulau Reunion pada Khamis.

PETALING JAYA: Agensi-agensi berita antarabangsa melaporkan, beberapa lagi cebisan daripada bangkai pesawat termasuk apa yang dipercayai bahagian tingkap pesawat telah ditemui terdampar di pantai Pulau Reunion dan telah dihantar ke Perancis untuk pengecaman dan penilaian pasukan penyiasat antarabangsa.
Memetik Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai berkata, beliau hanya dapat mengesahkan memang apa yang ditemui itu adalah sebahagian daripada serpihan pesawat.
Namun pada masa yang sama beliau juga tidak dapat mengesahkan sama ada ia adalah daripada pesawat MH370 yang hilang di Lautan Hindi pada 8 Mac tahun lalu bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal.
Menurut Liow, apa yang boleh beliau sahkan ialah ia memang sebahagian daripada cebisan bangkai pesawat.

Menjawab pertanyaan sekumpulan wartawan luar negara pada Khamis, Liow berkata bahan-bahan yang ditemui itu telah pun dihantar ke Perancis untuk dianalisa.

Cebisan tersebut termasuklah apa yang dipercayai berkas tingkap pesawat serta kerajang aluminum juga dipercayai digunakan dalam badan pesawat.

Pada awal pagi Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberitahu satu sidang akhbar khas bahawa kepingan flaperon yang ditemui minggu lalu di pantai yang sama telah pun disahkan sebagai sebahagian daripada anggota sayap MH370.

Pengesahan itu dilakukan berdasarkan nombor siri penyelenggaraan pada bahagian yang ditemui tersebut.

Liow juga berkata, warna cat pada flaperon yang ditemui itu adalah dari jenis yang sama yang digunakan oleh pesawat-pesawat MAS.

Pada masa yang sama Liow memberitahu yang Kerajaan Malaysia telah memohon bantuan Mauritius dan Madagascar untuk turut melakukan pemeriksaan di pantai mereka.

No comments:

Post a Comment