PUTRAJAYA  - Gerakan Anak Muda Harapan Baru memberi tempoh tujuh hari kepada Pejabat Perdana Menteri untuk mendedahkan senarai penuh penderma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Naib Penyelaras Gerakan Anak Muda Harapan Baru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, identiti pemberi perlu didedahkan dan alasan mengapa wang sebanyak itu diderma perlu dijelaskan segera.
 
“Duit derma yang diberikan kepada penjawat awam apatah lagi jika individu itu seorang perdana menteri, mesti ada niat tertentu.
 
“Ini bukan isu kecil, kerana ia melibatkan integriti perdana menteri dan soal keselamatan negara,” katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri, semalam.
 
Turut hadir menyerahkan memorandum adalah Ketua Penerangan Gerakan Anak Muda Harapan Baru, Khairol Najib Hashim dan Naib Penyelaras 2, Shazni Munir Ithnin.
 
Memorandum diserahkan kepada wakil pegawai di Pejabat Perdana Menteri, Penolong Setiausaha Megat Shah Namerul.
 
“Maklum balas yang diterima amat positif dan mereka akan menyerahkan memorandum tersebut terus kepada perdana menteri,” katanya.
 
Bagi Shazni Munir, isu yang melanda sudah menjadi bahan jenaka nasional dan secara tidak langsung menjatuhkan imej Malaysia di luar negara.
 
“Jenaka atau bahan-bahan lawak ini timbul bukan kerana rakyat hendak berseronok dengan alasan tidak munasabah.
 
“Sebaliknya ia berlaku kerana rakyat sudah bosan dengan isu-isu yang tidak berjawab,” katanya.
 
Katanya, perdana menteri harus berani berdepan dan menjelaskan kepada rakyat secara terbuka.
 
Dalam tempoh terdekat, Gerakan Anak Muda Harapan Baru akan terus menghantar memorandum kepada agensi berkaitan mendesak perdana menteri menjelaskan dari mana sumber wang itu diperolehi supaya tidak timbul fitnah ke atas beliau sekali gus menjawab setiap persoalan.
 
“Jika dalam tempoh tersebut, masih tiada maklum balas, memorandum akan diserahkan kepada Yang Dipertua Agung bagi mendesak Suruhanjaya Diraja diwujudkan untuk menyiasat isu tersebut,” katanya.