Thursday, August 6, 2015

Polis Tak Ganggu Siasatan SPRM - Khalid


Diterbitkan: Khamis, 6 Ogos 2015 5:38 PM
Khalid Abu Bakar

PETALING JAYA: Polis hanya menjalankan tugas dan bukan bertindak kerana adanya tekanan atau arahan daripada mana-mana pihak, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Ketua Polis Negara menerusi kenyataannya pada Khamis menolak dakwaan bahawa tindakan pihaknya baru-baru ini dilakukan atas arahan pihak tertentu untuk mengganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ia juga bertujuan untuk menjelaskan langkah memanggil pegawai suruhanjaya itu, serta rampasan dokumen serta peralatan berkaitan siasatan kebocoran maklumat rasmi kerajaan dan dokumen perbankan.
"Adalah jelas pihak polis berada di landasan betul dalam menjalankan siasatan kes ini, di mana dokumen rasmi kerajaan dan perbankan bocor dan dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk mengganggu gugat kestabilan negara," kata Khalid.
Hasil siasatan kes itu akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
"Orang ramai perlu faham bahawa setiap agensi kerajaan mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk menjalankan siasatan masing-masing . Bagaimanapun ia masih lagi seiring dengan matlamat asas iaitu untuk mencari kebenaran," katanya.
Sehubungan itu, kata Khalid, pihaknya tidak mengganggu SPRM dalam menjalankan tugasnya atau bertindak dalam apa juga keadaan untuk menggugat hubungan serta kerjasama antara agensi berkaitan.
Beliau juga mengingatkan semua pihak untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh dianggap sebagai menangguk air yang keruh.
"Beri peluang kepada agensi berkaitan melaksanakan tugas tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan atau agenda tersembunyi," kata Khalid.

No comments:

Post a Comment