Penyelarasnya, Mohd Sany Hamzan berkata, ia susulan kenyataan yang dibuat oleh suruhanjaya itu menyatakan wang yang ada di dalam akaun Perdana Menteri adalah sumbangan penderma, dan bukannya daripada syarikat pembangunan strategik, 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

“Apabila kami mendengar kenyataan tersebut, pelbagai persoalan yang timbul, bukan sahaja daripada kami. Malah, rakyat juga berfikiran perkara sama,” katanya ketika ditemui bagi menyerahkan memorandum kepada SPRM di ibu pejabat agensi itu, di sini, semalam.

Menurut beliau, antara persoalan yang ditimbulkan ialah siapa penderma tersebut dan apakah hubungan penderma itu dengan Perdana Menteri.

“Kami menggesa SPRM untuk mendedahkan siapakah individu yang mendermakan wang sejumlah itu kepada Perdana Menteri,” katanya.

Menurutnya, derma juga adalah satu perbuatan rasuah sepertimana yang didefinisikan sebagai suapan seperti yang terkandung di dalam Seksyen 3, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Justeru itu, beliau meminta SPRM untuk melakukan siasatan terperinci terhadap Perdana Menteri di bawah Seksyen 17 akta yang sama serta Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

“Kami mendesak agar siasatan lanjut dijalankan oleh SPRM dengan segera dan telus agar skandal ini dapat dirungkai dan diputuskan secara adil dan mengikut keluhuran undang-undang.

“Tiada sesiapa mengatasi undang-undang dan Perdana Menteri hendaklah disiasat sepertimana SPRM menjalankan siasatan kes rasuah yang melibatkan rakyat,” katanya