Thursday, August 6, 2015

Wartawan tinggal di lapangan terbang


06 Ogos 2015 12:13 AM
MOSCOW 5 Ogos – Seorang wartawan Jepun sanggup tinggal lebih 90 hari di sebuah lapangan terbang, semata-mata ma­hu meraih simpati daripada kerajaan Rusia supaya dia diterima menjadi warganegara Rusia.
Tetsuya Abo, 36, telah tinggal di bahagian ruangan transit lapangan terbang antarabangsa Sheremet­yevo sejak Mei lepas.
Dia mendakwa tindakan itu bermotifkan politik kerana Jepun tidak mengamalkan kebebasan bersuara kerana disekat di bawah akta rahsia oleh kerajaan Jepun.
“Adalah mustahil untuk bercakap benar di Jepun, tidak ada ketelusan dalam dunia kewartawanan kerana kami disekat membuat laporan di bawah akta rahsia.
“Pihak berkuasa Je­pun fikir cara mereka betul dengan menyekat perkara tidak baik daripada diketahui umum, walaupun mereka tidak sedar itu juga penting.
“Saya mahu tinggal di sini (Rusia), mahu kerakyatan negara ini,” katanya kepada portal Oddity Central.
Abo juga menggunakan zon steril untuk memastikan pihak berkuasa lapangan terbang tidak mengambil sebarang tindakan mengusirnya dari situ.
Pihak pentadbiran lapangan terbang mengakui mereka tidak mempunyai sebarang masalah dengan Abo yang tinggal di situ sejak tiga bulan lepas.
Wartawan itu yang tiba pada sambutan ‘Victory Day’ turut menempah tiket pergi balik, namun apabila sampai masanya dia enggan pulang.
Selepas tiga bulan menginap di situ, pakaian Abo semakin lusuh, namun dia tetap tidak berganjak dengan keputusannya tidak mahu pulang ke Jepun.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/wartawan-tinggal-di-lapangan-terbang-1.120951#sthash.hyInc1Xr.dpuf

No comments:

Post a Comment