Tuesday, April 13, 2010

1,560 rakyat Malaysia ditahan di luar negara


KUALA LUMPUR 12 April - Seramai 1,560 rakyat Malaysia kini ditahan di luar negara atas pelbagai kesalahan jenayah termasuk 729 orang yang terlibat dengan kes berkaitan dadah.
Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay berkata, angka itu merupakan statistik daripada 1991 sehingga bulan lalu.
Menurutnya, lebih 50 peratus daripada mereka yang ditahan kerana kes dadah terdiri daripada golongan wanita.
''Untuk pengetahuan, pihak Wisma Putra ada menyediakan Tabung Amanah Rakyat Malaysia dan tabung ini ditempatkan di pejabat-pejabat kedutaan serta perwakilan kita di luar negara.
''Tujuan tabung ini diwujudkan adalah untuk membantu rakyat Malaysia dari segi kewangan bagi mendapatkan khidmat guaman (semasa proses perbicaraan),'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar di Dewan Rakyat hari ini.
Kohilan berkata, tabung itu juga digunakan untuk perbelanjaan rakyat Malaysia pulang ke tanah air selepas mereka dibebaskan daripada tahanan.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, pihak kementerian juga sentiasa meminta pihak berkuasa seperti imigresen, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengetatkan lagi pemeriksaan keselamatan di pintu keluar dan masuk lapangan terbang antarabangsa di negara ini.
''Kementerian Luar juga menasihati rakyat terutama ibu bapa dan wanita supaya tidak terjebak dengan sindiket pengedaran dadah melalui program Dialog Keldai Dadah yang dipancarkan secara langsung oleh pihak RTM, baru-baru ini," katanya.
Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika mencelah mahu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya turut sama memberi kesedaran kepada rakyat mengenai bahaya membabitkan diri dalam kegiatan penyeludupan dadah ke luar negara.
Sementara itu Kohilan ketika menjawab soalan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) berkata, Malaysia komited memperjuangkan hak-hak penduduk Palestin yang kini dinafikan oleh rejim zionis Israel.
Selain itu beliau berkata, Malaysia juga akan meneruskan komitmen memberi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin khususnya melalui hubungan dua hala dengan negara-negara berhampiran seperti Mesir.
''Kerajaan Mesir memberi jaminan kepada kita bahawa mereka sentiasa memberi pertimbangan sewajarnya untuk kita memberi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.
''Kita akan terus mendesak supaya kerajaan Mesir membuka pintu masuk ke Palestin bagi memudahkan bantuan ini disalurkan. Kita juga berusaha menyalurkan bantuan melalui keanggotaan kita dalam Persidangan Pertubuhan Islam (OIC)," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment