Tuesday, April 13, 2010

Mesyuarat SPR 16 April tetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil Sibu


PUTRAJAYA 12 April - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 16 April ini bagi menetapkan tarikh hari penamaan calon dan mengundi bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu.
Pengerusinya, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, beliau telah menerima notis kekosongan kerusi kawasan itu daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Seri Mohd. Asfia Awang Nassar pada pukul 2 petang ini.
''Mesyuarat SPR itu akan diadakan di Hotel Blue Wave, Shah Alam pada 16 April memandangkan ramai urus setia kita berkumpul di sana sebelum kami ke Hulu Selangor untuk meninjau persiapan akhir hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor keesokannya (17 April)," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kerusi Parlimen Sibu kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau Hoi Chew yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan akibat kanser pada 9 April lalu.
Abd. Aziz berkata, SPR akan menggunapakai daftar pemilih pada suku terakhir tahun lalu iaitu Disember 2009 yang diwartakan pada Februari lalu untuk pilihan raya kecil Parlimen Sibu.
Menurutnya, daftar pemilih itu mengandungi 55,000 pengundi termasuk 2,635 pengundi pos.
Kata beliau, daripada keseluruhan pemilih itu, pengundi Cina meliputi 66.6 peratus, Melayu (17.2 peratus), Iban (15.9 peratus), Bidayuh (0.05 peratus), Orang Ulu (0.11 peratus) dan lain-lain 0.14 peratus).
Keseluruhan 2,635 pengundi pos pula meliputi masing-masing 1,944 anggota tentera dan 691 anggota polis.

No comments:

Post a Comment