Tuesday, April 13, 2010

SPR Thai arah Parti Demokrat dibubar



IMEJ yang dipetik daripada rakaman video oleh jurukamera Reuters, Hiro Muramoto beberapa detik sebelum dia ditembak di dada. Filem selama tujuh minit itu, menunjukkan Muramoto berada di belakang tentera semasa rusuhan berdarah di Bangkok pada 10 April lalu. Dia meninggal dunia pada Sabtu lalu akibat kecederaannya dan pembunuhnya tidak diketahui. Kameranya kemudian dipulangkan oleh penunjuk perasaan. - REUTERS


BANGKOK 12 April - Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand hari ini memutuskan bahawa Parti Demokrat iaitu parti pemerintah negara itu hendaklah dibubarkan atas tuduhan menyalahgunakan derma-derma pilihan raya.
Keputusan itu dilihat satu kejayaan kepada penunjuk perasaan antikerajaan atau Baju Merah yang mengarak mayat rakan mereka dalam keranda di Bangkok untuk mendesak perdana menteri meletakkan jawatan.
Keputusan tersebut, yang memerlukan kelulusan Mahkamah Perlembagaan untuk dikuatkuasakan, menyusul selepas seorang ketua tentera Thailand yang berpengaruh menyokong tuntutan Baju Merah, dengan menyatakan Parlimen mungkin perlu dibubarkan bagi menyelesaikan krisis politik negara itu yang sudah bertukar ganas.
Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva, yang berkeras untuk tidak meletak jawatan, kini berdepan dengan tekanan yang tidak diduga, selepas pertempuran berlaku antara Baju Merah dengan pihak berkuasa pada Sabtu lalu mengorbankan 21 orang.
Beliau yang merupakan lulusan Universiti Oxford dilihat menerima sokongan pihak tentera, yang secara tradisionalnya memainkan peranan penting dalam politik Thailand dan tidak teragak-agak merampas kuasa jika keadaan politik dianggap tidak stabil.
''Jika isu ini tidak boleh diselesaikan menerusi jalan politik, maka pembubaran Parlimen adalah langkah yang wajar,'' kata ketua tentera, Jeneral Anupong Paochinda.
Kumpulan Baju Merah menuduh kerajaan Abhisit mendapat kuasa secara haram dengan bantuan tentera selepas Thaksin Shinawatra digulingkan dalam rampasan kuasa 2006 ekoran tuduhan rasuah.
Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand membuat keputusan itu setelah menyiasat aduan yang difailkan oleh Baju Merah yang mendakwa Parti Demokrat pimpinan Abhisit menerima sumbangan lebih AS$8 juta (RM27.2 juta) dari sebuah syarikat simen, TPI Polene tapi tidak membuat perisytiharan.
Suruhanjaya itu dijadualkan mengumumkan keputusan itu pada 20 April tetapi menyegerakannya hari ini tanpa sebarang penjelasan. - AP

No comments:

Post a Comment