Tuesday, April 13, 2010

BN mahu dedah kelemahan kerajaan negeri


SHAH ALAM 12 April - Empat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang dibenarkan kembali ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah digantung enam bulan, hari ini berikrar untuk terus bertindak sebagai pembangkang yang cemerlang.
Menurut mereka, banyak kepincangan dan kelemahan kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang akan didedahkan oleh mereka sepanjang sidang DUN kali ini.
Kumpulan empat wakil rakyat tersebut terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Mohd. Isa Abu Kasim; ADUN Sabak, Datuk Warno Dogol; ADUN Hulu Bernam, Datuk Mohd. Idris Abu Bakar dan ADUN Dengkil, Datuk Marsum Paing.
Mohd. Isa berkata, beliau memang menunggu peluang untuk bercakap semula di DUN kerana banyak perkara mahu ditanyakan kepada kerajaan negeri.
"Banyak soalan dan isu hendak dibangkitkan nanti," katanya ketika ditemui di lobi Bangunan Annex DUN di sini hari ini.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan merasmikan Sidang DUN ke-12 itu yang dijadual berlangsung selama seminggu.
Kesemua mereka digantung sejak 15 Julai lalu kerana kesalahan menghina Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) dalam media.
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Mohamed Khir Toyo yang juga ADUN Sungai Panjang masih belum melepasi tempoh penggantungan tersebut kerana hukuman ke atasnya berjalan selama 12 bulan.
Sementara itu, ADUN Tanjung Sepat, Datuk Dr. Karim Mansor menegaskan, semua wakil rakyat BN, kecuali Mohamad Khir, hadir pada sidang DUN kali ini.
"Kita semua sepakat hadir walaupun ia bertembung dengan persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment