Tuesday, April 13, 2010

Operasi khas tangkap bekas Presiden Kyrgyzstan



Kurmanbek Bakiyev (gambar kecil) mendengar ucapannya di kampung Teyit di wilayah Jalal-Abad, selatan Kyrgyzstan, semalam. Bakiyev berusaha mengumpul sokongan untuk merebut kembali kuasa. - AP


TEYYIT 12 April - Kerajaan sementara Kyrgyzstan merancang operasi khas untuk menangkap Presiden Kurmanbek Bakiyev yang digulingkan tetapi Bakiyev memberi amaran percubaan itu akan mencetuskan pertumpahan darah.
Bakiyev mencabar pihak berkuasa sementara untuk menangkap atau membunuh beliau, selepas berucap kepada penyokong dalam satu perhimpunan di kampung kelahirannya.
"Biar mereka cuba menangkap saya, biar mereka cuba membunuh saya. Saya percaya tindakan itu akan mencetuskan begitu banyak pertumpahan darah yang tidak dapat diwajarkan oleh sesiapa pun," kata beliau.
Bakiyev melarikan diri dari ibu negara, Bishkek untuk mencari perlindungan di kubu penyokongnya di selatan negara ini pada 7 April lalu, selepas askar melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di luar pejabat beliau, menyebabkan 81 orang terbunuh.
Kerajaan sementara mahu beliau meletakkan jawatan atau menghadapi kemungkinan ditangkap.
"Kami sedang menjalankan persiapan untuk melancarkan operasi khas menangkap Bakiyev. Bagaimanapun dia bersembunyi di belakang perisai manusia... kami berharap dapat menjalankan operasi itu tanpa mengakibatkan kematian penduduk awam," kata timbalan pemimpin dalam kerajaan sementara, Almaz Atambayev di Bishkek, hari ini.
Semalam, kerajaan baru pimpinan bekas sekutu Bakiyev berkata, kekerasan tidak akan digunakan terhadap beliau tetapi tindakan mungkin diambil bagi menangkap dan membicarakan beliau kerana menyebabkan kematian penunjuk perasaan di Bishkek.
Keengganan Bakiyev untuk berundur mengancam akan menggugat kestabilan di negara Asia Tengah ini, di mana Amerika Syarikat (AS) mengendalikan sebuah pangkalan udara tentera bagi membantu operasinya di negara jiran, Afghanistan. - Reuters

No comments:

Post a Comment