Tuesday, April 13, 2010

BN tidak gentar siapa calon pembangkang


DUNGUN 12 April - Barisan Nasional (BN) bersedia untuk berdepan dengan sesiapa sahaja calon dari parti pembangkang pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, tidak kira sama ada parti pembangkang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mencalonkan Datuk Zaid Ibrahim pada pilihan raya itu nanti atau sesiapa pun, BN tidak gentar dan pasti akan lawan.
"Kita tak mahu masuk campur dalam urusan calon pembangkang, itu urusan mereka dan terserahlah kepada mereka nak letak siapa.
"Yang kita pasti, siapa dia akan letak kita akan lawan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan ulang tahun ke-37 Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Kompleks Sukan Bandar Al-Muktafi Billah Shah dekat sini hari ini.
Mohd. Shafie ditanya mengenai desas-desus kemungkinan PKR akan meletakkan Zaid yang merupakan penyelaras pakatan pembangkang sebagai calon dari PKR bagi merebut kerusi Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil itu.
Akhbar hari ini melaporkan kenyataan sumber PKR yang dipetik Bernama bahawa parti itu akan mencalonkan Zaid pada pilihan raya kecil berkenaan walaupun pucuk pimpinan parti tersebut dikatakan sudah mempunyai calonnya sebelum ini.
Pada perkembangan sama, Mohd. Shafie mahu rakyat khususnya di kawasan Parlimen Hulu Selangor supaya menyedari sumbangan serta jasa kerajaan selama ini yang menyediakan pelbagai perkhidmatan dalam membangunkan kawasan itu.
Jelasnya, rakyat perlu bijak menilai peranan besar yang disumbangkan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai infrastruktur dan prasarana untuk dinikmati segenap lapisan masyarakat kawasan berkenaan.
"Dengan pelbagai usaha pembangunan terutama kemudahan asas yang disediakan di kawasan itu, kita yakin perkhidmatan yang kita beri selama ini akan menambat hati para pengundi," katanya.
Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor diadakan berikutan kematian calon dari PKR, Dr. Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat sakit barah.

No comments:

Post a Comment