Monday, June 28, 2010

Ascot rayu kerajaan kaji semula keputusan




2010/06/28

KUALA LUMPUR: Ascot Sports Sdn Bhd berharap supaya kerajaan dapat menilai semula dan menimbang keputusan untuk tidak mengeluarkan semula lesen judi sukan kepada syarikat berkenaan. 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam, Ascot Sports kesal apabila terdapat segelintir pihak yang mempunyai agenda politik sempit memberi tekanan kepada kerajaan supaya tidak mengeluarkan semula lesen bagi membolehkan syarikat itu menjalakan pertaruhan judi sukan secara sah.“Tanpa satu saluran sah yang membolehkan pertaruhan judi ini dilaksanakan, ia hanya akan menyebabkan pihak seperti bookie, pemberi pinjam wang tidak berlesen dan sindiket perjudian mendapat manfaat daripada aktiviti itu sekali gus mengakibatkan kerajaan kerugian jutaan ringgit melalui hasil kutipan cukai, ” katanya.Sehubungan itu, katanya, pihak Ascot Sports tetap percaya sukan pertaruhan judi itu perlu dibenarkan di negara ini. 

Sementara itu, Lembaga Pengarah Berjaya Corporation Bhd (B-Corp) membatalkan hasrat membeli 70 peratus saham Ascot Sports yang diumumkan pada 12 Mei lalu. 
Menurut kenyataan B-Corp semalam, keputusan itu dicapai berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Jumaat lalu berhubung perkara yang sama. 

“Bagaimanapun, lembaga pengarah menetapkan usaha untuk mengembangkan portfolio syarikat kepada teras perniagaan sedia ada manakala sektor perjudian akan terus kekal menjadi fokus utama syarikat berikutan potensinya yang cukup tinggi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Komunikasi Korporat dan Hubungan Pelanggan syarikat itu semalam. 
Sehubungan itu, katanya, syarikat akan meneruskan usaha menjalinkan kerjasama baik di dalam dan luar negara selain komited terhadap dasar memberikan pendapatan dan pulangan munasabah kepada semua pemegang saham. 

No comments:

Post a Comment