Monday, June 28, 2010

Johor: 'Lagak remaja macam pelesit'


Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my
2010/06/28

Tunggang motosikal tanpa topi keledar, berlumba di Taman Sri Lambak 

KLUANG: Bagai pelesit. Itulah gambaran yang dapat disaksikan di Taman Sri Lambak di sini berikutan tindakan penduduk taman ini terutama golongan muda yang membahayakan nyawa mereka dengan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.
Malah, penunggang yang kebanyakannya remaja ini sanggup berlumba sesama sendiri di jalan di taman perumahan tanpa rasa takut dan bersalah terhadap pengguna jalan raya lain termasuk pejalan kaki.Tinjauan Edisi Johor ke taman perumahan berkenaan, baru-baru ini mendapati hampir setiap masa kelihatan penunggang remaja yang memandu secara melulu dan tidak memakai topi keledar keluar masuk terutama di lot kedai di taman itu. 

Apa yang lebih bahaya adalah mereka menjadikan laluan lurus kira-kira 500 meter di hadapan lot kedai di taman berkenaan untuk menunjukkan 'kehandalan' berlumba sesama sendiri. 

Peniaga, Karzaman Ahmad, 50, berkata gelagat berbahaya segelintir remaja di situ sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu. 

"Ia seperti sudah menjadi pemandangan biasa di sini apabila mereka tidak pernah merasa takut dan bimbang untuk menunggang laju dan ada kalanya, berlumba sesama mereka di dalam taman ini. 
"Pihak berkuasa pernah melakukan operasi dan menyaman pelajar berkenaan serta pemilik motosikal, namun keadaan itu hanya bertahan beberapa minggu sebelum kejadian sama berulang. 

"Penduduk tidak menyalahkan pihak berkuasa, namun ibu bapa perlu lebih tegas bagi memantau pergerakan anak mereka kerana ia membabitkan nyawa terutama penduduk yang melintas jalan untuk ke kedai. 

"Malah, sepanjang dua tahun ini sebanyak tiga kemalangan maut berlaku membabitkan penunggang remaja termasuk kejadian membabitkan kemalangan maut penunggang dan pembonceng dan penunggang yang merempuh sebatang pokok, baru-baru ini, kedua-duanya berlaku kerana memandu laju dan secara melulu," Katanya ketika ditemui di kedainya, di sini. 

Karzaman berkata, jumlah kemalangan maut berkenaan mungkin dianggap sedikit namun kes kecederaan parah juga banyak berlaku membabitkan penunggang remaja termasuk patah kaki dan tangan, malah putus telinga. 

Katanya, beliau juga serba salah untuk menegur mereka ini kerana kebanyakannya anak kawan sendiri, namun berharap ibu bapa dapat memantau pergerakan anak bagi mengelak nahas. 

No comments:

Post a Comment