Monday, June 28, 2010

Maya terus kunci mulut




PERGOLAKAN rumah tangga pelakon jelita, Maya Karin Roelcke, 31, atau Maya Karin dan pasangannya, Steven David Shorthose atau nama Islamnya,Muhammad Ali Abdullah, 41, yang didedahkan sejak akhir Februari lalu masih belum menemui jalan penyelesaian.
Pasangan itu ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur Khamis minggu lalu bagi mendaftarkan perkahwinan di negara ini.
Ada pula dakwaan yang menyebut, pasangan itu juga bakal memfailkan perceraian mereka.
Benar atau tidak hanya mereka dan Allah sahaja yang mengetahui.
Pelakon filem Pontianak Harum Sundal Malam itu hadir ke mahkamah dengan baju kurung lengkap bertudung pukul 2 petang ditemani peguam syarie, Norhusniah Husin dari Tetuan Zain & Co.
Sementara suaminya pula hadir lengkap bersut hitam ke mahkamah itu kira-kira 45 minit kemudian.
Keresahan wakil media yang hadir membuat liputan setelah hampir sejam menanti di perkarangan luar mahkamah berakhir apabila kelibat Steven keluar dari mahkamah ditemani rakansnya.
"It's no divorce (tiada cerai)". Hanya itu kata-kata yang terpacul dari bibir Steven sebaik ditanya mengenai persoalan kehadiran dia dan Maya ke mahkamah tempoh hari.
Namun, usaha puluhan wakil media yang hadir mendapatkan maklumat terperinci daripada guru bahasa Inggeris itu tidak berhasil apabila dia meminta pihak media bertanyakan sendiri hal tersebut kepada isterinya.
"You have to ask Maya (anda perlu bertanya pada Maya)," kata Steve ringkas sambil berlalu pergi meninggalkan perkarangan mahkamah dengan pelbagai tanda tanya.
Pasangan yang dinikahkan di Villa Corte de Lago, Bellagio, Itali pada 14 Ogos 2008 itu dilaporkan sudah tidak lagi tinggal sebumbung sejak enam bulan lalu.
Pasti ini menjadi suatu perkara yang sukar diungkapkan apabila ikatan yang terbina atas dasar cinta mula goyah tidak sampai tahun kedua perkahwinan.
Lapan tahun lamanya mereka menyulam rasa iaitu sejak usia Maya mencecah 21 tahun, lelaki yang sama juga membuka pintu hatinya untuk mengambil keputusan berumah tangga pada usia 29 tahun.
Kesabaran wakil media yang hadir di mahkamah tersebut teruji lagi apabila kelibat Maya yang dinanti-nantikan masih tidak kelihatan.
Aktres itu hanya hadir setengah jam selepas itu. Biar nampak tertekan, Maya bagaimanapun masih mampu tersenyum dan menjawab pertanyaan media dengan penuh diplomasi.
Bagaikan semut yang dihurung gula, wanita berdarah kacukan Melayu-Jerman itu dikerumuni dan diasak dengan pelbagai pertanyaan oleh wartawan.
Namun kehampaan melanda apabila tiada jawapan muktamad yang memuaskan diberikan olehnya.
"Kami sudah buat perjanjian untuk tidak beri sebarang kenyataan. Saya tidak boleh cakap apa-apa.
"Rasanya perkara ini lebih selamat dan elok jika saya tidak kata apa-apa kerana saya takut salah cakap atau orang akan salah faham dengan bahasa Melayu saya nanti," katanya.
Ditanya adakah dia masih dengan keputusan untuk bercerai kata Maya: "Setakat ini apa yang berlaku hari ini masih tiada keputusan bagaimanapun saya okey."
Daripada wajahnya, bagaikan ada sesuatu yang ingin diperkatakan namun seperti ada sesuatu juga yang menghalangnya untuk berbuat demikian.
Apakah sebenarnya yang berlaku di antara mereka, segalanya terkunci rapat sebagai rahsia mereka berdua.
Persoalan yang bermain di minda kini, apakah keputusan yang bakal diambil oleh Maya kelak.
Adakah memilih untuk kembali menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri ataupun berpisah secara damai?.
Segalanya masih menjadi teka-teki.

No comments:

Post a Comment