Monday, June 28, 2010

Ku Li sedia jadi saksi



GUA MUSANG – Bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah, bersedia menjadi saksi bagi pihak Kerajaan Kelantan, jika kerajaan negeri itu membawa kes tuntutan royalti minyak ke mahkamah. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, tawaran itu dibuat kerana beliau adalah orang yang bertanggung jawab dalam penyediaan Akta Petroleum dan mengetahui banyak perkara kerana pernah dilantik sebagai Pengerusi Petronas. 

“Saya boleh jadi saksi mengenai perkara itu kerana Akta Petroleum yang dipakai sampai sekarang adalah adil untuk kerajaan negeri terbabit membuat tuntutan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Chiku 2, dekat sini, semalam 

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, Akta Petroleum memberi hak kepada negeri yang mengeluarkan minyak menuntut hak royalti minyak. 

Bagaimanapun, katanya, beliau menyerahkan kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk membawa kes royalti minyak ke mahkamah dan beliau bersedia menjadi saksi. 

Menurutnya, menerusi wang royalti inilah negeri mundur dapat membangunkan negeri masing-masing sekiranya royalti diberikan kepada kerajaan negeri.: 

“Beberapa negeri dianggap mundur seperti Kelantan dapat membangunkan negeri sekiranya diberikan wang royalti untuk melaksanakan pembangunan,” katanya. 

Sebelum ini, Exco kerajaan negeri dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Royalti, Datuk Husam Musa berkata, Kerajaan Negeri Kelantan akan membawa isu royalti minyak ke mahkamah, 30 Ogos nanti.

No comments:

Post a Comment