Thursday, September 23, 2010

Khalid akan putuskan 5 Oktober nanti

Harakahdaily  

SHAH ALAM, 23 Sept: Dengan tinggal tidak sampai dua minggu tarikh tutup pencalonan kepimpinan PKR, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim masih lagi membisu dan tidak menunjukkan sebarang petunjuk beliau akan bertanding merebut mana-mana jawatan.

Menurut sumber yang rapat dengan beliau, para pegawai kanan beliau sendiri tidak tahu apakah Khalid mahu bertanding mana-mana jawatan atau tidak dalam pemilihan kali ini.

"Tan Sri ini tau buat kerja je, tak pernah fikir mahu memegang jawatan atau tidak. Kalau orang bagi amanah, dia akan pikul dengan baik," kata seorang pegawai kanan beliau kepada Harakahdaily.

Beliau difahamkan, Khalid hanya akan mengumumkan keputusannya pada 5 Oktober ini iaitu hari di mana beliau perlu mengisi borang penerima pencalonan dan dihantarkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR.

Khalid termasuk dalam senarai 15 calon yang layak bertanding jawatan naib presiden PKR sehingga kini. Beliau juga dicalonkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Sehingga kini, Nurul Izzah Anwar, anggota Parlimen Lembah Pantai,  bersama  N. Gobalakrishnan (Ahli Parlimen Padang Serai) dan Fuziah Salleh (Ahli Parlimen Kuantan) membuat pengesahan untuk bertanding bagi mengisi empat kerusi naib presiden.

Untuk jawatan timbalan presiden, tiga nama mendapat pencalonan terbanyak iaitu Azmi Ali (anggota Parlimen Gombak), Datuk Zaid Ibrahim (Penyelaras Pakatan Rakyat) dan Mustafa Kamil Ayub (Naib Presiden). Tian Chuan, anggota Parlimen Batu turut mendapat pencalonan.

No comments:

Post a Comment