Thursday, September 23, 2010

Pernah diminta tidak buka tender nombor plat


KUALA LUMPUR 22 Sept. - Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan (gambar) mengesahkan beliau pernah menerima surat yang meminta agar nombor pendaftaran kenderaan negeri Melaka bermula dengan MCA 1 hingga MCA 9999 tidak dibuka kepada awam.
Tanpa mahu memberi komen lanjut, Solah ketika dihubungi sekadar memberitahu kenyataannya selari dengan pendedahan yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha semalam.
"Segala-galanya telah didedahkan oleh Menteri Pengangkutan semalam, jadi rasanya saya tidak perlu mengulas lanjut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Aidilfitri Kementerian Pengangkutan di Putrajaya semalam, Cho Ha mengemukakan surat bertarikh 17 Februari 2010 yang ditandatangani Setiausaha Sulit Kanan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat yang mahu nombor plat berhuruf 'MCA' tidak dibuka kepada tender awam.
Surat tersebut ditujukan kepada Solah dan isi kandungannya adalah seperti berikut:
"Dimaklumkan bahawa YB Menteri Pengangkutan telah mengarahkan supaya tender nombor pendaftaran kenderaan bagi negeri Melaka iaitu MCA1-9999 tidak dibuka kepada umum."
Tee Keat dalam laporan akhbar hari ini pula menafikan beliau menggunakan kuasanya ketika itu untuk mengarahkan JPJ membekukan penjualan nombor plat terbabit bagi dikhususkan kepada ahli dan pemimpin MCA.
Solah memberitahu, JPJ kini meneruskan proses pendaftaran plat kenderaan dengan abjad MCA itu.
"Bagaimanapun, kita perlu habiskan dulu (pendaftaran) MBY sebelum pendaftaran plat 'MCA' dimulakan, tetapi saya tidak boleh jangka bila, kena periksa dahulu," jelas beliau.

No comments:

Post a Comment